Saturday, September 3, 2011

DAP mahu siasatan sama ada misi Somalia patuh ciri keselamatan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – DAP mahu pihak berkuasa mengadakan satu siasatan berhubung tragedi kematian membabitkan wartawan Malaysia di Somalia semalam bagi mengenal pasti jika wujud “jurang dalam pelaksanaan aspek keselamatan.”

Jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor terbunuh kerana tembakan peluru sesat di Mogadishu manakala jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan cedera di tangan dan dilaporkan stabil.

Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong berkata, pihaknya berkongsi kesedihan dan mengucapkan takziah atas situasi dialami keluarga Allahyarham Noramfaizul, tetapi mahukan satu siasatan dilakukan.

“Semangat Allahyarham dan pasukan media yang bertugas mengiringi lawatan Kelab Putera 1Malaysia dan Bakti tersebut amat disanjungi kerana keberanian mengharungi cabaran atas amanat sebagai anggota media.

“Namun, DAP ingin menegaskan bahawa pihak penganjur misi ke zon bahaya seperti Somalia perlu mengambil serius segala protokol keselamatan terhadap anggota rombongan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Angkatan Warga Aman Malaysia S Barathidasan pula berkata, tragedi terbaru ini menunjukkan bahawa misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ada kecacatan dalam mempromosikan agenda BN-Umno.

“Adakah kelab itu benar-benar tahu apa yang berlaku di Somalia sekarang? Kami juga rasa sedih dengan tragedi yang dialami jurukamera kita dan keluarga mereka,” katanya lagi.

Noramfaizul, 39 meninggal dunia selepas terkena tembakan peluru sesat di bahu kanan yang menusuk paru-parunya semasa pulang ke tempat kediaman selepas membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Beliau adalah antara 55 anggota misi tersebut yang berlepas ke Mogadishu, Somalia pada 28 Ogos lalu.

Tembakan itu dipercayai disasarkan ke arah trak tentera Kesatuan Afrika tetapi tersasar dan terkena pacuan empat roda yang dinaiki mangsa.

Kejadian pukul 5.15 petang waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia) berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan bersama jurukamera TV3 selepas selesai membuat liputan di sebuah kem pelarian di ibu negara bergolak itu.

No comments: