Wednesday, June 1, 2011

Selangor perkenal Skim Pemilikan Kediaman Persendirian

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) sejak 2008 hari ini meluluskan Skim Pemilikan Kediaman Persendirian bagi memudahkan rakyat negeri itu memiliki kediaman dengan bayaran premium fleksibel.

Akhir tahun lalu kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku yang bertujuan memudahkan golongan muda pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan memiliki rumah mendapat sambutan positif daripada pelbagai persatuan pengguna.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, skim yang berkuat kuasa mulai hari ini adalah hasil kajian bersama pejabat tanah dan galian, pejabat daerah, dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dijangka dapat melengkapkan Skim Pemberian Geran yang bermula sejak tahun lepas.

“Kajian telah dibuat setelah kerajaan negeri mendapati bahawa tidak ramai rakyat Selangor dapat menikmati sepenuhnya skim pemberian geran kerana tidak mampu membayar premium,” kata beliau.

Katanya, melalui skim itu, rakyat yang tidak mampu menjelaskan keseluruhan premium tanah boleh menjadi pemilik hartanah yang sah dengan hanya membayar bayaran RM1,000.

“Mereka yang memilih cara ini, hanya perlu menjelaskan keseluruhan premium, mengikut harga semasa, jika hartanah itu dipindahmilik, dijual,” katanya.

Menteri Besar menambah, skim itu juga memberi peluang kepada mereka yang membayar premium penuh dalam tempoh enam bulan dari tarikh tempoh notis dikeluarkan untuk diberikan diskaun 30 peratus secara automatik.

Khalid juga berkata, skim itu boleh dipakai untuk permohonan pemberimilikan baharu, pemberimilikan disebabkan oleh tamat tempoh pajakan, lanjutan tempoh pajakan dan pemutihan langgar syarat kegunaan tanah.

“Bagaimanapun pindah milik melalui mahkamah, turun milik dan perwarisan adalah dibenarkan,” katanya lagi.

Khalid juga berkata, skim tersebut hanya ditawarkan kepada satu pegangan hak milik kediaman persendirian dan tidak boleh dipakai untuk hartanah komersial.

Katanya, inisiatif itu adalah satu reformasi oleh pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bagi menyelesaikan masalah rakyat dalam pemilikan hartanah.

“Ini adalah kali pertama sebuah kerajaan negeri di Malaysia memperkenalkan skim mudah bayar demi menggalakkan pemilikan harta persendirian,” katanya.

Oleh itu kata beliau, kerajaan negeri berharap ia dapat menolong mengurang beban rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup yang makin meningkat, terutamanya dengan peningkatan harga minyak dan elektrik.

Katanya, skim itu akan dilancarkan sepenuhnya pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

No comments: