Wednesday, June 1, 2011

Persiapan Muktamar PAS ke-57 hampir selesai

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuizm) yang terletak di Taman Melewar, di sini, agak sunyi, sepanjang 3 hingga 5 Jun ini, suasananya pasti akan berubah sama sekali dengan kunjungan orang ramai dari seluruh negara.

Kolej tersebut yang turut menempatkan Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor akan menjadi tempat berhimpun 1,150 perwakilan PAS dari seluruh negara, manakala di persekitarannya pula dimeriahkan dengan gerai-gerai perniagaan yang pasti mencetuskan hiruk pikuk dan riuh rendah suara orang ramai yang berkunjung ke gerai-gerai yang disediakan.

Suasana tersebut berlaku lantaran Muktamar Tahunan PAS Ke-57 yang akan berlangsung di kolej itu selama tiga hari, mengiringi suara para perwakilan membahaskan pelbagai perkara bagi memantapkan lagi perjuangan parti, sekali gus menyemarakkan lagi semangat para pemimpin dan ahli-ahli PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tidak lama lagi.

Menjelang hari-hari akhir muktamar, pihak panitia dan para petugas semakin sibuk melaksanakan persiapan berlandaskan bidang tugas masing-masing, bagi memastikan segala penyusunan kerja dan perancangan yang diatur berjalan lancar dan sempurna.

Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad yang sebelum ini merupakan Markas Tarbiyah PAS Pusat, ternyata telah berubah wajah setelah dijadikan kolej, bagi menyesuaikannya dengan keperluan semasa sebagai pusat pengembangan ilmu.

Bangunan setinggi dua tingkat itu dibahagikan kepada dua bahagian utama. Di tingkat atas ditempatkan bilik-bilik kuliah dan asrama para pelajar, manakala di tingkat bawahnya dikekalkan dewan besar untuk dimanfaatkan sebagai tempat perhimpunan yang dinamakan Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor.

Nama dewan tersebut dipadankan dari nama Presiden PAS sebelum ini yang telah kembali ke rahmatullah, sebelum digantikan Presiden PAS sekarang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sebagai mengenang jasa dan pengorbanan Allahyarham yang cukup besar terhadap perjuangan PAS.

Bagi Muktamar PAS Ke-57, dewan tersebut yang sebelum ini telah menampung pelbagai perhimpunan besar dalam PAS, akan kembali menyaksikan detik bersejarah bagi parti, dengan suara-suara lantang para perwakilan membahaskan pelbagai usul penting untuk dirumuskan.

Justeru, bagi pihak panitia muktamar dan para petugas, perlaksanaan kerja-kerja utamanya pasti turut tertumpu ke atas dewan itu untuk dihias indah, dilengkapi pelbagai keperluan termasuk pentas utama, pemasangan sistem pembesar suara, sistem hawa dingin yang sempurna.

Begitu juga dengan keperluan utama lain termasuk pemasangan lampu-lampu yang bersesuaian serta mencukupi, penyusunan kerusi yang teratur untuk diduduki para perwakilan, hiasan landskap yang indah dipersekitarannya dan sebagainya.

Selain itu, tumpuan kerja juga turut terarah pada tingkat atas bangunan itu kerana di tingkat itulah nanti yang menempatkan ruang rakan-rakan media melaksanakan tanggungjawabnya dan tempat duduk para muslimat.

Tinjauan Harakahdaily hari ini mendapati kerja-kerja tersebut sudah hampir selesai, dengan anggaran melebihi 90 peratus telah terlaksana, untuk menyambut mesra dan ceria kedatangan para pemimpin utama parti dan para perwakilan yang mewakili 180 kawasan PAS dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Begitu juga dengan penyediaan tempat parking kenderaan kepimpinan utama PAS di luar bangunan Kolej dan tapak 105 buah gerai perniagaan untuk disewa para peniaga, kini telah terlaksana dengan baik yang antara lainnya dengan pemasangan khemah-khemah bersesuaian berwarna putih dan agak ceria bagi mewarnai suasana.

Pada muktamar tahun ini, pihak panitia turut terpanggil membuka kaunter derma darah yang ditempatkan di suatu penjuru, bagi membolehkan orang ramai menderma darah untuk membantu mereka yang memerlukan darah.

Sepanjang tinjauan dilakukan, para petugas kelihatan bertungkus lumus melaksanakan kerja masing-masing, dengan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan dan rakan-rakannya yang diamanahkan dengan kerja-kerja persiapan di dalam dewan, turut berpeluh menyiapkan kerja-kerja yang masih berbaki.

Bagi memastikan segalanya berjalan lancar, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi sendiri turut berkunjung ke kolej tersebut kelmarin, untuk meninjau tahap persediaan yang telah terlaksana dan dimaklumkan cukup berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh para petugas.

Muktamar Tahunan PAS Ke-57 akan bermula 3 Jun dengan agenda pertama selepas perasmian pada sebelah pagi mengesahkan peringatan muktamar yang lalu, berakhir dengan pemilihan kepimpinan dalam parti yang berjalan mengikut susunan berperingkat-peringkat, manakala pada sebelah malamnya, bermula jam 9.00 malam akan diadakan persembahan kebudayaan.

Pada hari Sabtu, 4 Jun, bermula jam 8.30 pagi dengan usul terima kasih kepada presiden dan perbahasan ucapan dasar, manakala pada sebelah malamnya, bermula jam 9.00 malam, akan diadakan ceramah umum yang akan disampaikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan Pakatan Rakyat.

Ahad, 5 Jun, bermula jam 8.30 pagi dengan agenda kelima berupa perbahasan usul-usul, sebelum ditutup dengan agenda keenam mulai jam 2.00 petang dengan penggulungan dan ucapan penangguhan serta doa.

No comments: