KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyelar tindakan Umno Sabah melalui Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang didakwa mengeluarkan arahan agar menutup Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (Pasti) di Sandakan baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan itu seperti tidak bertamadun memandangkan Pasti milik PAS yang didaftarkan di bawah penyeliaan Dewan Pemuda PAS Pusat telah memberi sumbangan besar kepada pembinaan modal insan masyarakat Islam di negara ini.
"Kenapa perlu sampai menghancurkan masa depan generasi kita.
"Tindakan ini tidak bertamadun," katanya.
Pada 23 Mei lalu, satu notis MPS bertajuk “Notis menghentikan operasi taska Pasti” mengarahkan pusat-pusat pendidikan Pasti menghentikan operasinya dengan segera.
Pasti telah ditubuhkan sejak 25 tahun yang lalu secara sah menurut Perlembagaan PAS Fasal 6 (2).
Sejak penubuhannya, ianya didakwa mendapat sambutan menggalakkan dari ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka.
Sehubungan itu, Mahfuz mahu rakyat Sabah menilai sendiri sikap Umno yang sanggup menggadai masa depan anak bangsa demi kepentingan politik mereka.
"Saya ucapkan 'kotobian tadau tagazo do kaamatan' sempena dengan perayaan budaya Kaamatan bagi negeri Sabah.
"Ambillah semangat perayaan ini untuk melakukan perubahan," katanya lagi.
Beliau turut memuji langkah Lajnah Penerangan PAS Sabah yang diketuai Hisammuddin Sulaiman apabila baru-baru ini berjaya menganjurkan program sambutan Kaamatan mengikut syraiat Islam.
Dalam sambutan bersama rakyat di Kampung Batu Lugiyan Sook Sabah, tiada lagi makanan dan minuman memabukkan disediakan dan juga tiada lagi sebarang bentuk pemujaan dilakukan. |
No comments:
Post a Comment