Thursday, June 2, 2011

Orang Cina Terengganu tak puas hati dengan BN

PASPB

KUALA TERENGGANU – Pakatan pembangkang tidak akan berdepan cabaran sukar untuk mendapat sokongan masyarakat bukan Islam khususnya kaum Tionghua pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat, berkata, beliau yakin terhadap perkembangan tersebut berdasarkan kepada perjumpaan dengan beberapa kelompok kaum tersebut terutama di kawasan Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun yang menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, beberapa perkara yang menjadi kemarahan kaum tersebut terhadap BN turut dikenal pasti sehinggakan beliau yakin tsunami politik yang melanda Sarawak baru-baru ini akan ‘menjalar’ ke Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Perkara yang menaikkan kemarahan kaum tersebut adalah kenaikan harga barang berikutan kenaikan harga minyak menyebabkan sebahagian besar peniaga Cina yang kebanyakannya peniaga pertengahan tidak dapat berniaga.

“Selain itu, kenaikan tarif elektrik, ‘politiking’ yang kuat dalam UMNO sehingga tiada projek besar yang dibangunkan di negeri ini dan kronisme,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, kaum tersebut mendapat maklumat melalui akhbar mereka yang dianggapnya memainkan isu secara tepat, selain tidak bersetuju dengan isu video seks yang dikaitkan dengan pemimpin kanan pembangkang yang dimainkan dalam akhbar Melayu dan cakera padatnya turut diedarkan.

Hanafiah berkata, kaum tersebut juga sudah yakin dengan masa depan mereka jika pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara melalui apa yang berlaku di Pulau Pinang.

“Mereka boleh berniaga dan berpuas hati dengan perkembangan di negeri tersebut dan kebaikan yang diperoleh melebihi zaman UMNO,” katanya.

Beliau berkata, bagi memberi keyakinan kepada pihak tersebut, pihaknya turut mengedarkan kira-kira 10,000 risalah Buku Jingga di seluruh negeri sambil memberitahu manifesto yang tercatat di dalamnya ditunggu-tunggu rakyat.

Beliau berkata, antaranya pembangkang berjanji untuk menaikkan gaji guru sebanyak RM500 sambil memberitahu ia tidak mustahil dapat dilakukan sekiranya negara ditadbir pembangkang kelak.

“Kalau BN memerintah memang mustahil untuk menaikkan gaji guru dan kita juga bersedia sekiranya gagal laksanakan apa yang tercatat dalam buku jingga itu, kita sanggup menyerahkan pentadbiran kepada kerajaan baru,” katanya.

No comments: