KUALA LUMPUR — Pemblog Syed Azidi Abdul Aziz atau yang mesra dikenali “Kickdefella” berkata, “belum sampai masa” bagi beliau untuk menjawab dakwaan blog-blog pro-Umno kononnya beliau menerima bayaran dan berkempen untuk Datuk Husam Musa yang bertanding kerusi naib presiden PAS.
Syed Azidi berkata, beliau juga tidak mahu memberi kenyataan sehingga ia boleh menjejaskan proses pemilihan parti itu, di mana ia akan memberikan “kelebihan kepada mana-mana calon yang bertanding.”
“Saya rasa bukan masa bagi saya menjawab, tidak perlu untuk saya jawab,” kata beliau kepada The Malaysian Insider tengah hari ini.
Salah satu blog pro-Umno mendakwa pihaknya ada mendengar kononnya Syed Azidi menerima bayaran sebanyak RM300,000 daripada “orang Husam”.
“Saya cuba juga risik sana sini tapi tiada siapa yang boleh mengesahkannya. Malam tadi perkara berkenaan mula kecoh di Twitter dan Facebook. Kalau dah kecoh, mungkinlah itu semua ada asasnya,” kata blog rbfonline yang turut menyenaraikan lima persoalan bagi Syed Azidi.
Selain Husam, turut bertanding jawatan naib presiden PAS ialah Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Datuk Mohd Amar Abdullah, Idris Ahmad dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Selain itu, blog tersebut juga bertanya sama ada Syed Azizi ada bertemu dengan Husam di China bagi merancang strategi untuk kemenangan Husam dalam pemilihan PAS.
“Semoga Kickdefella jawab semua seolan ini dan nyatakan secara jujur kepada semua pembaca-pembaca blog di tahap manakah sebenarnya hubungannya dengan Husam,” katanya.
Dakwaan itu ditimbulkan ketika menjelang hari pengundian pemilihan pusat pada hujung minggu ini.
Husam, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, kali ini bertanding jawatan naib presiden, kerusi yang pernah dipegang sebelum bertanding kerusi timbalan presiden pada 2009.
Syed Azidi pernah berkhidmat di Perbadanan Menteri Besar Kelantan sebagai pegawai perhubungan awam dan dilihat rapat dengan Husam.
Sehubungan itu, beliau pernah membantu Husam dalam menghadapi pemilihan dua tahun lalu sebelum berhenti akhir 2009.
Bagaimanapun Syed Azidi berkata, beliau masih merasakan Husam seorang yang “pemimpin yang istimewa.”
“Saya masih percaya Husam seorang yang istimewa, adalah seorang pemimpin yang istimewa,” katanya.
No comments:
Post a Comment