Thursday, June 2, 2011

Biasiswa JPA: MCA kecut dengan UMNO

ROKET KINI.COM



KUALA LUMPUR – Kegagalan MCA untuk menegur kerajaan pusat Barisan Nasional berhubung dasar pemberian biasiswa oleh Jabatan Pelajaran Awam (JPA) terhadap pelajar cemerlang membuktikan parti kaum Cina itu hanya berlagak hero tetapi takut dengan dasar-dasar tidak adil ditetapkan oleh UMNO.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata kenyataan rakan sejawatnya dari MCA Datuk Wee Ka Siong dalam twitter pada pada 29 Mei lalu adalah bukti MCA cuba mengelirukan fakta sebenar.

Dalam cicipan twitternya, Wee berkata: ‘Pendirian MCA: beri keutamaan kepada pelajar terbaik untuk PILN (Program Ijazah Luar Negara) terutamanya pelajar yang mendapat A+. Ribuan yang mendapat 8A+, hanya 1,500 PILN, jadi pilih yang terbaik, bukan kedua terbaik!’

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata kenyataan twitter Wee jelas mengelirukan kerana daripada 1,500 tempat untuk ke luar negara, hanya 20 peratus atau 300 biasiswa sahaja diberikan mengikut merit.

Tambahnya, pemberian biasiswa JPA tahun ini tidak ada bezanya dengan tahun lalu kerana mekanisme yang sama telah ditetapkan untuk 20 peratus berdasarkan merit, 60 peratus berdasarkan kuota kaum, 10 peratus untuk yang berada di bawah keistimewaan dan bakinya untuk Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Bagaimana boleh pegawai-pegawai JPA “memilih yang terbaik, bukan kedua terbaik” sebagai mana yang dikatakan oleh Wee apabila dasar kerajaan BN ialah seperti itu?” soal Loke.

Beliau menyarankan Wee mencermin diri dan menyoal kenapa MCA – yang mempunyai empat menteri dalam Kabinet – gagal mempengaruhi dasar kerajaan persekutuan untuk memberi biasiswa JPA kepada pelajar-pelajar cemerlang tanpa mengira kaum.
Loke juga berkata Wee sebagai Timbalan Menteri Pelajaran tidak ada hak untuk memberi amaran terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk mengemukakan pandangan dalam isu biasiswa JPA.

“Adakah Ka Siong sangat berkuasa sehingga tidak boleh dikritik? Benarkan saya menjelaskan kepadanya, jika dia tak tahan dikritik lebih baik dia bungkus begnya dan keluar dari arena politik,” tegasnya.

Sementara itu, Guan Eng dalam kenyataannya hari ini menjelaskan DAP tidak berminat dalam percanggahan di antara UMNO dan MCA tetapi mahu memastikan kerajaan BN mendedahkan butir-butir mengenai pemegang biasiswa JPA yang diberikan berdasarkan prestasi.

“Semua orang tahu bahawa Wee adalah daripada puak MCA yang telah memecat Chua Soi Lek sebagai ahli MCA berikutan skandal video seks yang melibatkan Chua. Wee juga tegas menentang untuk melantik Chua sebagai Presiden MCA.

“Apa yang DAP tertarik sekarang hanyalah untuk memastikan semua pelajar cemerlang ini memperolehi biasiswa untuk program ijazah luar negara dan memastikan butiran lanjut mengenai penerima biasiswa didedahkan bagi menegakkan prinsip telus dapat diamalkan,” katanya. – Roketkini.com

No comments: