Pada tahun 2003, Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu, Hon Choon Kin telah menjalankan satu siasatan dalaman, dan kemudiannya mendapati seramai 25% pelajar Cina berhenti sekolah sebelum menamatkan pendidikan menengah. Daripada angka tersebut, dianggarkan lebih daripada 65% meninggalkan sekolah sebelum menduduki peperiksaan PMR.
Ke manakah anak-anak yang berhenti sekolah ini pergi? Walaupun kita tidak memiliki perangkaan yang tepat, tetapi apabila kita berjalan-jalan di lorong, kita akan menemui ramai remaja Cina yang menjual vcd cetak rompak, bekerja di kafe internet atau mesin judi. Ada yang menipu dengan "gores dan menang". Mereka yang lebih berani akan bekerja secara haram di US, Australia atau UK. Paling menggelisahkan, tidak kurang remaja yang terlibat dalam pengedaran dadah kerana terperdaya oleh orang di sekitarnya.
Walaupun ekonomi Malaysia mengalami perubahan yang mendadak, dengan kehidupan kebendaan yang lebih lumayan seandainya dibandingkan dengan generasi datuk dan nenek kita, namun ia gagal menutup realiti bahawa gejala negatif muncul berikutan jurang antara kaya dengan miskin yang semakin melebar. Kerajaan menumpu kepada pembangunan industri berat dan ekonomi bandar, dan mengabaikan bidang perikanan dan pertanian di pekan dan kampung. Tiada jalan lain kecuali keluar ke bandar, setelah anak-anak ini - tidak kira apa jua kaumnya - henti sekolah.
Kegemilangan luaran bandar gagal menutup kegelapan yang berada di dalamnya. Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan ramai kanak-kanak yang tertinggal. Mereka yang tidak berkemahiran gagal menemui masa depan mereka di bandar. Maka kita melihat Mat Rempit dan penagih dadah di kalangan remaja Melayu, remaja India pula terjerat ke dalam kongsi gelap dan jenayah merompak. Sementara itu, bidang perjudian dan pelacuran semestinya terasa kesannya seandainya remaja Cina yang henti sekolah tidak terjerumus ke dalamnya. Malah, kita diperlihatkan bagaimana wanita kaum asli mendarat di Semenanjung untuk menceburi bidang seks, dari Malaysia Timur yang kaya dengan sumber semula jadi.
Kedua-dua orang ibu-bapa kini perlu bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga, dalam zaman kos sara hidup yang semakin melambung. Ibu bapa yang bekerja di luar gagal mengambil berat keperluan naluri anak yang henti sekolah. Kecuaian untuk berkawan dengan orang yang salah - walaupun sekali sahaja - sudah memadai untuk menjadi kekesalan keluarga untuk seumur hidup. Demikianlah akibat yang ditanggung apabila Malaysia terlalu ghairah untuk menghambat kedudukan ekonomi dan mengabaikan keadilan sosial.
Peluang untuk semua?
Ketika membincangkan pendidikan Cina, masyarakat Cina suka menunjuk-nunjuk dengan berapa "A" yang diperolehi oleh anak mereka, dan sekolah manakah yang melahirkan pelajar dengan semua- A terbanyak, berapa orang pula pelajar yang diserap ke universiti di Singapura. Tetapi tidak ramai orang yang mengambil berat terhadap ratusan ribu pelajar Cina yang henti sekolah.
Beberapa tahun dahulu, "Dunia itu rata" (The world is flat) oleh Thomas Friedman menjadi antara buku yang terlaris di dunia. Ramai antara penganalisa isu semasa dalam media arus perdana terikut-ikut dengan pandangan ini, lantas menyeru agar masyarakat Cina supaya tidak berputus asa, kerana peluang berada di mana-mana.
Dunia itu rata, maka dengan kelebihan yang ada pada diri "kita" (orang Cina), tiada negara yang akan menolak bakat orang Cina. Justeru itu, ia menimbulkan ilusi bahawa semua anak Cina memiliki syarat untuk menjadi Bill Gates atau Tsai Ming Liang (Pengarah filem terkenal, gambar kanan, kanan). Semua orang mampu menerokai jalan untuk dirinya...
Betul, dunia itu rata. Mereka yang mempunyai bakat dan cita-cita besar boleh merentasi Eropah, atau China, Taiwan dan Hong Kong untuk menerokai masa depan. Mereka yang henti sekolah juga berkongsi kemungkinan untuk meluncurkan diri di landasan globalisasi. Sindiket dadah antarabangsa membuka dada untuk menyambut mereka yang henti sekolah untuk memasuki gelanggang. Sehingga kini, ramai antara warga negara kita yang ditangkap di China, Taiwan, Singapura dan Indonesia kerana menyeludup dadah ke negara tersebut.
Adilkah kehakiman di Singapura?
Anak muda Sabah Yong Vui Kong (gambar kiri) telah dijatuhkan hukuman mati di Singapura kerana mengedar dadah. Dari kaca mata Singapura yang tegas dalam penguatkuasaan undang-undangnya, Yong Vui Kong adalah pemangsa. Tetapi bukankah Yong merupakan mangsa daripada sistem pendidikan yang gagal, kehancuran institusi negara dan kemiskinan masyarakat?
Lebih-lebih lagi, Yong hanya seorang remaja yang usianya belum genap 18 tahun semasa kejadian ini berlaku. Apa yang menimpa ke atas dirinya menggagalkannya untuk membezakan antara garis yang hitam dengan yang putih. Kini, beliau telah insaf setelah menganuti Buddha, apakah tiada ruang untuk perikemanusiaan dalam undang-undang yang tegas?
Apakah ia disebabkan Singapura antara negara yang paling bersih dari rasuah? Kerana ramai bakat Malaysia yang diserap ke negara itu, kerana dasar di Singapura yang kelihatan adil, malah dapat menonjolkan politik perkauman di Malaysia, maka masyarakat Cina cenderung untuk mempercayai bahawa sistem kehakiman di situ adalah adil, dan kerajaan Singapura melayan semua pesalah yang dihukum mati dengan saksama.
Tetapi pandangan ini dicabar sekarang. Setelah menelaah buku Once a Jolly Hangman:Singapore Justice in the Dock yang ditulis Alan Shadrake, kita terpaksa menilai semula sistem kehakiman Singapura.
Jikalau dikatakan tiada diskriminasi warna kulit ketika kerajaan Singapura menguatkuasakan undang-undang, maka amatlah sukar untuk kita menjelaskan mengapa warga Singapura yang berketurunan India, Shanmugam Murugesu dijatuhkan hukuman mati, tetapi wanita Jerman, Julia Bohl yang juga dijatuhkan dengan hukuman sama, tidak perlu berdepan dengan tali gantung selepas tekanan daripada Jerman. Hukuman penjara lima tahun-nya, berakhir dengan hanya tiga tahun.
Lebih-lebih lagi, seorang warga UK Michael McRae terlibat dengan penjenayahan bunuh di Singapura, dan melarikan diri ke Australia, malah mengaku bersalah di Australia. Australia yang membantah hukuman mati enggan memberi kerjasama ketika Singapura cuba untuk mengekstradisi pesalah itu. Akhirnya Singapura yang bangga dengan ketegasan penguatkuasaan undang-undangnya itu, terpaksa berganjak langkah untuk menjamin supaya tidak menjatuhkan hukuman keras ini. Akhirnya, Michael McRae terlepas daripada hukuman mati, dan dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun.
Pada tahun 2005, pihak berkuasa Singapura telah membenarkan peguam Australia untuk bertemu dengan warga mereka yang dijatuhkan hukuman mati, tetapi dengan sengaja menundakan pemohonan peguam dari Malaysia, Ngeow Chow Ying untuk menemui Yong Vui Kong, minggu lalu.
Secara individu, saya membantah hukuman mati. Contoh-contoh di atas diketengahkan untuk menjelaskan bahawa biarpun betapa tegasnya penguatkuasaan undang-undang sebagaimana yang didakwa di Singapura, tetapi ianya juga memegang kepada dua kayu ukur (double standard), terutamanya apabila berdepan dengan negara yang lebih maju dari segi ekonominya.
Saya cuma ingin bertanya, adakah kesalahan Yong Vui Kong lebih berat daripada kesalahan yang dilakukan Julia Bohl atau Michael McRae, sehingga Yong diwajibkan mati?
Kalau kita gagal menyelamatkan Yong Vui Kong yang jahil kerana terlalu muda, apakah kerajaan, parti politik dan masyarakat sivil dapat memastikan bahawa kita tidak akan mempunyai lebih ramai Yong Vui Kong pada masa depan?
*Josh Hong adalah penganalisa politik dan kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Tulisan ini disunting dan diterjemahkan oleh Lim Hong Siang dari teks asal.
No comments:
Post a Comment