Friday, July 2, 2010

PERTAHAN KEUTUHAN BUDAYA TEMPATAN

Oleh: ROZIE JUMAT


KAUM Bumiputera harus sentiasa berbangga dengan keturunan mereka dengan memelihara apa yang mereka miliki seperti budaya dan warisan. Sementara wakil rakyat sentiasa menyokong usaha mereka untuk menjaga dan mengekalkan budaya tersebut.

Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, kaum Bumiputera khususnya suku kaum Murut di pedalaman mempunyai warisan budaya yang tulen yang harus dijaga dan dikekalkan turun temurun.

Kurup berkata demikian ketika memberikan ucapan sempena Majlis Apasawang (hari jadi) Keluarga Busiau Ampirak (Timbalan Ketua Pemuda PBRS N.38 Nabawan) di Kg.Sinikaulan, Daerah Kecil Pagalungan.

Kata Kurup yang juga merupakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, majlis seperti apasawang, juga sangat penting sebagaimana majlis keraian suku kaum Murut seperti ansakoi, tinauh atau ilauh yang bertujuan mengumpulkan saudara mara.

“Apasawang adalah salah satu adat istiadat suku kaum Murut yang sangat penting, dan saya sendiri menyokong majlis seumpama ini untuk terus diraikan dan berterusan”, kata Kurup.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu berkata, apasawang mengukuhkan persaudaraan dan mengeratkan silaturahim,juga mengekalkan identity bangsa Murut.

“Pelihara apa yang kita miliki, apasawang adalah salah satu cara memelihara budaya,” kata Kurup.

Dalam pada itu Kurup juga berasa terharu bdan sangat berbesar hati kerana dianggap sebagai saudara oleh masyarakat di kampung itu yang menjemputnya ke majlis apasawang, serta melibatkan diri dengan pembelian barangan hantaran yang dibawa oleh saudara mara penganjur apasawang.

Sementara itu, wakil keluarga, Sakampung Dawalis berkata, mereka sangat terharu kerana seorang wakil rakyat sentiasa mendampingi rakyat meskipun majlis seumpama itu bukanlah majlis yang melibatkan perasmian atau majlis pemimpin bersama rakyat.

“Pemimpin tidak seharusnya berjumpa dengan rakyat semasa majlis pemimpin bersama rakyat semata-mata tetapi kehadiran mereka di majlis seumpama ini merapatkan sesama kita,” kata Dawalis.

Majlis apasawang adalah satu majlis keraiaan yang dianjur untuk mengingati hari ulang tahun anak-anak dalam sesebuah keluarga dan ianya diraikan secara besar-besaran mengikut adat suku kaum itu.

No comments: