Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat negara ini.
“Alasan bahawa mereka memerlukan masa tidak timbul kerana pengharaman penjualan itu tidak melibatkan sebarang perubahan pada stesen minyak dan memerlukan penggunaan duit.
“Bukan saya tidak mahu layan permintaan mereka, tetapi harap mereka kena faham hasrat kerajaan memberikan subsidi hanya pada rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas permintaan Persatuan Penjual Petrol agar kerajaan melanjutkan tempoh pelaksanaan larangan itu selama sebulan bagi membolehkan pengusaha stesen minyak dan pemilik kenderaan asing menyesuaikan diri dengan peraturan tersebut.
Ketika mengumumkan penyelarasan subsidi ke atas bahan api dan gula minggu lepas, kerajaan turut berkata, bermula 1 Ogos ini kenderaan bernombor pendaftaran asing hanya dibenar membeli petrol RON 97.
Ismail Sabri berkata, tempoh diberi kerajaan itu adalah memadai memandangkan ia tidak melibatkan perubahan besar.
Isnin lalu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Samad mencadangkan pengusaha minyak di negeri itu mewujudkan pam khas kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing untuk elak penyelewengan terhadap penjualan petrol RON 95.
Katanya, cadangan itu bagi melicinkan pengurusan stesen minyak sekali gus memastikan sekatan penjualan itu dipatuhi.
“Sekatan itu adalah langkah baik kerajaan untuk memelihara kepentingan rakyat terhadap barangan subsidi itu.
“Pemilik stesen minyak pula harus beri kerjasama dalam menjayakan usaha kerajaan itu dan bukannya memikirkan keuntungan semata-mata,” kata Shahrir.
No comments:
Post a Comment