Abdul Aziz Mustafa |
KUALA LUMPUR: Kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 81 peratus ke negara ini menghilangkan kelayakan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Merudumnya pelaburan asing itu menunjukkan betapa buruknya tahap pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, katanya. "Dalam sebuah negara Perdana Menteri adalah Ketua Pegawai Eksekutuf (CEO) yang bertanggungjawab untuk membawa pulangan yang lumayan pada negara dari sejumlah wang yang telah dibelanjakan. "Kejatuhan kedatangan pelabur asing sebanyak 81% telah menghilangkan kelayakkan Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. "Najib seharus berundur secara terhormat demi untuk menyelamatkan satu Malaysia "rakyat didahulukan pencapaian diutamakan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu. KPI dan NKRA diperkenalkan oleh pentadbiran Najib untuk mengukur adalah pencapaian dalam pengurusan. "Dalam sektor korporat perkembangan begini adalah gambaran gagalnya seorang CEO. CEO seperti ini akan dipecat kerana tidak produktif dan gagal membawa pulangan keuntungan kepada syarikat. Kejatuhan 81% kemasukan pelabur asing adalah satu pencapaian buruk dan memalukan. "Bersediakah Najib untuk berundur? "Tentu tidak dan Najib akan kata business as usual. Inilah budaya 'tidak apa' Umno yang merosakkan negara," kata Mahfuz. Beliau melihat kejatuhan pelaburan asing yang begitu teruk itu adalah akibat dari gejala rasuah dan kepincangan sistem perundangan negara sehingga persepsi pelabur antarabangsa terhadap Malaysia begitu buruk sekali. Menurut beliau, bagi pelabur asing, mereka akan melabur di tempat lain selain Malaysia apabila di Malaysia mereka berhadapan dengan rentetan birokrasi yang kronik dan juga terpaksa membayar tukang-tukang lobi yang mewakili ahli-ahli kabinet dan isteri serta keluarga mereka. "Fenomena ini membawa kepada rasuah berleluasa. Di Malaysia Umno mengamalkan konsep who you know, not what you know. Kalau hendak kelulusan menteri, perlu bekerjasama dengan balaci-balacinya." kata beliau. Menurut beliau lagi, pelabur-pelabur asing juga tidak berminat kepada Malaysia apabila melihat kepincangan sistem perundangan dan keadilan negara. "Kes Lingamgate, kes rampasan kuasa Umno Barisan Nasional (BN) di Perak, kes sodomi kedua dan lain-lain memberi gambaran law of rule bukan rule of law," katanya. Begitu juga dengan kepincangan pengurusan di Sime Darby, Felda, Maybank dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain, kata beliau, kesemuanya memberi tanggapan buruk kepada pelabur-pelabur asing. "Mereka melihat di Malaysia tidak ada budaya accountability dan responsibility. "Sime Darby rugi berbillion, ahli lembaga pengarah masih ada, tidak ada sesiapa yang dikenakan tindakan undang-undang atau diberhentikan. "Maybank buat pelaburan bodoh di Indonesia dengan membeli Bank Internasional Indonesia, CEOnya dilantik jadi menteri kabinet, sekarang jadi Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC). Felda susut rizab tunai berbillion ringgit, Najib terus jadi Perdana Menteri yang menguruskan Felda dan (Datuk) Ahmad Maslan terus jadi Timbalan Menteri. "Mana dia accountability dan responsibility? Pelabur tidak akan melabur di negara yg tidak ada budaya accountability dan responsibility," tegas beliau. Laporan Pelaburan Dunia 2010 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menunjukkan jumlah FDI ke Malaysia terus mencatatkan penurunan mendadak pada tahun lalu. Jumlah itu berkurangan RM19.04 bilion berbanding RM23.47 bilion yang diterima pada tahun 2008 (Perangkaan diambil kira berdasarkan nilai US$1 = RM3.20650). Perangkaan tahun lalu yang hanya bernilai RM4.43 bilion juga tidak mencerminkan separuh daripada apa yang lazimnya diterima oleh Malaysia pada 1995 hingga 2005. Prestasi Malaysia juga dianggap memalukan jika dibandingkan dengan ekonomi Thailand dan Indonesia yang tidak mengecut dengan teruk di sebalik menerima tempiasan krisis kewangan dunia itu. Thailand kehilangan RM14.24 bilion manakala Indonesia pula hanya berkurangan RM8.32 billion dalam FDI mereka, tahun lalu. Kejatuhan mendadak itu yang dikatakan paling buruk dalam 15 tahun menyaksikan jumlah terkumpul FDI yang mengalir keluar melebihi jumlah pelaburan yang diterima sebanyak RM3.21 bilion. |
Monday, July 26, 2010
Pelaburan merudum: Najib patut berundur
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment