Friday, July 23, 2010

LAPORAN POLIS ‘DATO’ GUNA SIJIL ANAK NEGERI PALSU

SABAH DAILY

IDRIS Panglima Siat yang beberapa minggu lalu menggemparkan kaum Anak Negeri Sabah dengan tindakan beraninya menyita tanah yang dipohon olehnya bersama rombongan tetapi kesemua gerannya telah dipindahmilik kepada seorang taukeh, kononnya melalui penipuan; telah mendedahkan kepada krew Sabahkini.net satu lagi tindakan beraninya yang selama ini dirahsiakan olehnya.

Menurut Idris, sebelum menyita tanah yang dipindahmilik dengan cara penipuan dia memaklumkan krew Sabahkini.net bahawa lebih awal dia telahpun membuat laporan kepada pihak Polis tentang jenayah Dato’ Hon Chung Lip yang didakwa olehnya sebagai dalang yang telah memindahmilik tanah dipohonnya bersama keluarga, menggunakan satu Sijil Anak Negeri palsu.

Idris menambahkata bahawa, di samping menyerahkan Notis Keluar kepada penceroboh-penceroboh dan penghuni-penghuni yang berada dalam kawasan tanahnya, dia telah menuntut Dato’ Hon Chung Lip supaya menyerahkan balik salinan asal geran tanahnya kepada Peguam yang telah dilantik olehnya.

Idris dipetik berkata bahawa Dato’ Hon Chung Lip yang memiliki Sijil Anak Negeri kononnya dikeluarkan daripada Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu asalnya adalah seorang warganegara dan lahir di negara China; kemudian mendapat status Warganegara Malaysia melalui kuatkuasa undang-undang. Kedua ibu bapa Dato’ Hon Chung Lip adalah warganegara China.

Oleh kerana mengetahui etika kerja kakitangan Mahkamah Anak Negeri yang sewenangnya sesuka hati memberi pengiktirafan kepada orang luar seperti Dato’ Hon Chung Lip yang tidak ada setitikpun mempunyai darah keturunan Anak Negeri tetapi diberikan status anak negeri semata-mata bagi membolehkannya membeli dan memiliki tanah dibawah syarat NT; maka Idris mengambil tindakan sendiri dengan masuk dan merampas pentadbiran dan menyita tanah yang telah dikeluarkan geran atas namanya tetapi dipindahmilik kepada nama Dato’ Hon Chung Lip.

Siasatan krew Sabahkini.net mendapati penama Hon Chung Lip, taukeh dengan gelaran ‘Dato’ telah banyak membeli tanah NT sekitar Daerah Sandakan, Kinabatangan dan Labuk Sugut menggunakan Sijil Anak Negeri tersebut.

Di samping menjadi Pengarah kepada beberapa buah syarikat yang berkecimpung dalam bidang pertanian, Dato’ Hon Chung Lip juga adalah pemaju harta tanah.

Antara syarikat berdaftar miliknya adalah Golden Apex Sdn Bhd., Syarikat Pertama Kayu Balak dan Melangking Oil Palm Plantation Sdn. Bhd.

“Saya amat hairan bagaimana Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri di Kota Kinabalu boleh keluarkan Sijil Anak Negeri kepada Hon Chung Lip sedangkan dia lahir di negeri China dan kedua ibubapanya bukan orang Malaysia,” ujar Idris dengan nada penuh kesal.

No comments: