Thursday, July 1, 2010

Isu APCO panaskan kembali Dewan Rakyat

Nazri Abdullah & Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Isu merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kaitan Malaysia dengan firma Israel, APCO Worldwide di bawah peraturan mesyuarat 36 (12), menghangatkan perbahasan Dewan Rakyat hari ini.

Perang mulut bermula apabila Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok yang mahu Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dirujuk ke JK Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan dewan.

Ianya berhubung kos pembinaan astaka Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia Shanghai yang diberitahu menteri kepada dewan semalam hanya RM20 juta, namun dalam jawapan bertulis kepada kepada Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan 15 Jun lalu, menteri sama memberitahu kos pembinaan dan operasi astaka tersebut RM35 juta.

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagaimanapun berpendapat menteri tidak berniat mengelirukan dewan dan mungkin tersilap, menjawab sambil lewa, atau salah maklumat yang diberikan pegawainya seperti belaku kepada Datuk Seri Nazri Aziz berhubung isu pemindahan parlimen.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali (kanan) yang bangun selepas itu kemudian mempertikai kenapa Anwar dihadapkan ke JK khas tersebut sedangkan padanya kes kedua-duanya adalah sama.

Anwar juga, katanya tidak berniat mengelirukan dewan, apatah lagi tampil dengan fakta dan bukti-bukti yang cukup.

Pandikar kemudian menjelaskan wujud perbezaan tipis berhubung kedua-dua kes tersebut dan Anwar telahpun diberi peluang membuat penjelasan namun masih mempertahankan kenyataannya sebelum ini.

Usul merujuk Anwar yang dibawa kerajaan juga, katanya telah dipersetujui oleh majoriti ahli dewan.

Beliau juga memberitahu menerima surat dari APCO yang menafikan dakwaan terlibat dengan One Israel.

"Saya bukan hakim yang boleh membuat keputusan apabila mendengar hujah. Dalam hal Permatang Pauh, yang membuat keputusan ialah majlis, setelah berbahas panjang," katanya.

Anwar juga kemudian bangkit mempersoal kenapa penjelasan dan bukti-bukti yang dikemukakannya tidak terpakai, sedangkan satu surat dari APCO cukup untuk mengheretnya ke JK Hak dan Kebebasan tersebut.

Pendedahannya juga, katanya tidak dijawab oleh Perdana Menteri sama benar atau menafikannya.

"Aneh, seolah-olah APCO itu mempunyai kekuatan luar biasa, sehingga tidak boleh disentuh langsung oleh ahli Yang Berhormat," katanya.

Hampir sejam perdebatan berlangsung, Speaker bagaimanapun tegas dengan pendiriannya dan turut menafikan berlaku double standard dalam kes tersebut.

No comments: