Friday, July 2, 2010
Gerai penuh lalang
Oleh Poliana Ronnie Sidom
TELUPID: Keengganan peniaga berpindah untuk beroperasi secara tetap menyebabkan lebih 20 lot gerai disediakan Majlis Daerah Beluran (MDB) di sini terbiar sejak lebih sembilan tahun lalu.
Keadaan itu bukan saja menjejaskan pandangan, malah mulai menjadi sarang bagi pelajar ponteng sekolah melepak yang dikhuatiri menimbulkan gejala sosial tidak sihat.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Maria, 40, mengakui mereka sudah berkali-kali diarah MDB supaya berpindah ke premis itu.
Bagaimanapun, katanya, kedudukan gerai yang jauh dari kawasan pekan boleh menjejaskan pendapatan peniaga yang bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan sayur dan buah-buahan.
“Kami pernah berpindah ke gerai baru itu selepas siap dibina pada 2001, namun hanya bertahan selama dua minggu.
“Selain keadaan yang panas, lokasinya juga jauh dari kawasan tumpuan orang ramai menyebabkan hasil jualan berkurangan.
“Sepanjang berada di gerai itu, sehari pun belum tentu kami boleh mendapat hasil RM30 seperti berniaga di tepi jalan seperti sekarang.
“Tempat kami berniaga ketika ini lebih senang dikunjungi kerana di tepi jalan raya utama dan perhentian bas,” katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam.
Lebih 30 penjual sayur dan buah-buahan di sini membina gerai sendiri berikutan tidak mahu berpindah ke gerai disediakan MDB.
Tinjauan Berita Harian mendapati, lebih 20 lot gerai didirikan di tepi padang pekan itu kini ditumbuhi lalang.
Masalah sama turut berlaku terhadap bangunan pasar bersebelahan lot gerai terbabit yang sudah setahun siap dibina.
Ruang yang sepatutnya dijadikan tempat penjual ikan dan barang basah berniaga, bertukar menjadi tapak pemborong kain terpakai beroperasi ketika tamu mingguan diadakan.
Pemaju Mukim Telupid, Jonnybone Kurum, 30, berkata beliau mendapat aduan daripada penjual ikan dan barang basah yang tidak dapat berpindah ke bangunan baru berikutan ketiadaan bekalan air dan elektrik.
Katanya, jabatan berkaitan tidak dapat menyediakan keperluan itu kerana saluran paip utama berada di bawah pasar dan menyukarkan kerja penyaluran bekalan.
Ahli MDB, Pilayu Matusip ketika dihubungi Berita Harian, berkata masalah itu akan dibincang dalam mesyuarat MDP tidak lama lagi.
Katanya, MDB mengambil keputusan menyewakan pasar kepada pemborong kain dan peniaga makanan untuk sementara waktu bagi mengelak ia terbiar lebih lama.
“Mereka hanya diberi ruang untuk sewa harian dan bila tiba masanya, peniaga yang sepatutnya akan diberi keutamaan untuk menyewa premis terbabit,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment