SELANGOR KINI
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengganggap serangan bertali arus Umno terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berlaku disebabkan parti pemerintah itu semakin gelabah berikutan kehilangan sumber kewangan melalui kegiatan mencuri pasir.
Beliau tidak hairan dengan gelagat pimpinan dan juak-juak Umno yang bermati-matian membangkitkan isu pasir hingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk demontrasi bagi memastikan kerajaan negeri tidak menutup periuk nasi kroni mereka.
Khalid berkata demikian pada majlis pelancaran Gerak Kerja Penyelaras Komunikasi Selangor (Pikom).
Sejak peringkat awal pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor, isu kecurian pasir antara perkara yang dijadikan belantan bagi membantai kesungguhan kerajaan negeri mempertahan hak rakyat.
Pimpinan Umno, dari bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo, Timbalan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan terbaru, Ezam Mohamed Noor menjadi watak utama dalam menyerang kewibawan kerajaan Selangor.
Ironinya, kerajaan Umno Barisan Nasional ketika berkuasa gagal sama sekali membanteras kegiatan curi pasir hingga menimbulkan cakap-cakap di kalangan ramai bahawa Umno sebenarnya dalang kecurian pasir.
Tan Sri Khalid berkata, sebaliknya, kerajaan Selangor membawa pembaharuan supaya memastikan pasir tidak sewenang-wenang dicuri dan hasilnya masuk dalam poket pihak tertentu sedangkan rakyat hanya melongo.
Bagaimanapun, Umno dengan berbekalkan pena media arus perdana memutar belit isu kecurian pasir dengan menuding jari kepada Pakatan Rakyat dengan pelbagai tohmahan tanpa bukti dan memanipulasi fakta.
No comments:
Post a Comment