Rabu, 5 Mei 2010

Sultan Kelantan 'dihalang' ke Singapura

UTUSAN ONLINE

KOTA BHARU - Sultan Kelantan 'dihalang' ke Singapura untuk menjalani pemeriksaan lanjut tahap kesihatan baginda di Hospital Mount Elizabeth.

Malah pesawat yang disewakan khas untuk menerbangkan Tuanku Ismail Petra dikatakan tidak mendapat kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Baginda dijadual berangkat kira-kira pukul 11.30 pagi tetapi terus tertangguh beberapa kali dan akhirnya pihak media dimaklumkan terdapat usaha membawa baginda dengan pesawat komersial.

Berikutan itu, kira-kira pukul 7.30 malam ini baginda dibawa keluar dari Istana Mahkota di sini ke lapangan terbang untuk menaiki pesawat yang dijadual berlepas pukul 7.50 malam ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura pukul 10.30 malam.

Turut bersama dalam kenderaan yang bakal mengiringi baginda ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid bersama tiga orang doktor termasuk seorang doktor peribadi baginda.

Namun kenderaan itu dikatakan dihalang oleh anggota pasukan keselamatan yang berkawal di pekarangan istana dan kemudiannya diiringi menuju ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dekat sini.

Putera ketiga baginda, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang berada dalam sebuah kenderaan berasingan bersama beberapa pengawal peribadi tidak dibenarkan mengiringi kenderaan membawa Tuanku Ismail Petra.

Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak istana berhubung soal itu dan pihak berkuasa lapangan terbang ketika dihubungi pula enggan memberikan sebarang penjelasan.

Bagaimanapun Tengku Muhammad Fakhry Fetra sebelum itu mendakwa terdapat arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa lapangan terbang dan mungkin agensi-agensi kerajaan yang lain bagi menghalang Tuanku Ismail Petra dibawa ke Singapura.

Bercakap kepada pemberita, beliau percaya arahan itu atas perintah mereka yang menggunakan agensi kerajaan walaupun permohonan pelepasan dan pendaratan telah dibuat lebih awal.

''Tujuan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan ke Singapura adalah untuk mendapat rawatan susulan yang telah diatur oleh doktor pakar yang merawat Tuanku semasa di sana," jelas beliau.

Beliau menjelaskan keberangkatan Tuanku juga adalah atas pembiayaan peribadi dan bukan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Tuanku Ismail Petra dijadualkan berada di Singapura bagi menjalani pemeriksaan selama 10 hari.

Baginda yang mengalami masalah jantung mendapat rawatan di hospital tersebut pada 24 Mei tahun lalu sebelum berangkat pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian 4 Mac lalu.

Sepanjang ketiadaan baginda, konflik berlaku dalam keluarga istana dan ia terus memuncak sekembalinya baginda ke negeri ini dan tahap kesihatan baginda masih menjadi persoalan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad mengesahkan Tuanku Ismail Petra malam ini dimasukkan ke HUSM.

Bernama difahamkan baginda dimasukkan ke hospital itu atas pilihan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra untuk menjalani rawatan susulan.

Tiada ulasan: