Jumaat, 28 Mei 2010

Pengharaman rokok kotak 14 batang ditangguh

UTUSAN ONLINE

PUTRAJAYA - Pengharaman penjualan rokok 14 batang tidak dapat dikuatkuasakan mulai 1 Jun ini kerana Kementerian Kesihatan memerlukan lebih banyak masa untuk membuat kajian mengenai kesannya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tarikh penguatkuasaan itu tidak dapat dilaksanakan kerana bimbang pengharaman penjualan rokok 14 batang akan menyebabkan lebih banyak lambakan rokok haram di negara ini.

"Pengecualian untuk penjualan rokok 14 batang sememangnya diberikan sehingga satu tarikh yang belum diputuskan pada 2010, namun kementerian sebelum ini membuat cadangan untuk mempercepatkan kepada Jun ini.

"Memandangkan lebih banyak data diperlukan tentang kesannya, Kabinet semalam memutuskan supaya ia tidak dipercepatkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, satu kenyataan juga akan dikeluarkan secepat mungkin mengenai perkara itu.

Sebelum ini, Tiong Lai pernah menyatakan bahawa penjualan rokok 14 batang akan diharamkan bagi mengehadkan kebolehcapaian awam terhadap rokok terutamanya di kalangan remaja dan hanya membenarkan penjualan rokok 20 batang yang harganya lebih mahal.

Tiada ulasan: