Ahad, 30 Mei 2010

Program Melayu Bangkit Akan Diadakan 14 Jun Ini

BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Program Melayu Bangkit anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) yang sebelum ini ditunda atas aspek keselamatan, akan diadakan pada 14 Jun ini.

Pengerusi Gertak, Razali Idris berkata pengisian program itu tidak berubah daripada rancangan asal, iaitu membincangkan isu yang melibatkan kaum Melayu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

"Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama pada majlis itu yang akan berlangsung di Stadium Negeri dan dijangka dihadiri lebih 20,000 peserta termasuk dari luar Terengganu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Melalui program ini, beliau berharap hubungan sesama orang Melayu yang mula renggang berikutan perselisihan dalam politik akan kembali bersatu untuk kestabilan negara.

Katanya mungkin juga ada yang salah faham dengan singkatan Gertak yang digunakan, yang sebenarnya diambil daripada dialek Terengganu yang bermaksud jambatan, bertujuan menghubungkan orang Melayu walaupun berbeza fahaman politiknya.

Razali berkata pihaknya akan memohon permit daripada pihak berkuasa esok.

Katanya penyertaan terbuka kepada kaum Melayu namun Gertak tidak mempunyai sebarang masalah jika bukan Melayu ingin turut serta dalam program tersebut, dengan menghantar surat terlebih dahulu kepada penganjur.

Tiada ulasan: