KOTA BHARU: Kongres Nasional Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) petang semalam meluluskan usul mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melepaskan jawatannya.
Usul tersebut sebelum itu dibincangkan berikutan berlaku dakwaan salah laku semasa mengendalikan pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu.
Perwakilan dari Selangor, Roni Hadi semasa membentang usul berkata, AMK berpendapat pengerusi SPR harus meletakkan jawatan ekoran kelemahan pengendalian pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu.
“Sehubungan itu pengerusi baru SPR perlulah dilantik dari kalangan tokoh yang mempunyai kredibiliti, amanah dan jujur menjalankan tanggungjawab.
”Selain itu SPR perlu diletak di bawah kawalan parlimen dan bukan Jabatan Perdana Menteri seperti sekarang,” katanya pada kongres tersebut yang diadakan di Dewan Duyung Perdana Resort.
Ketika membentang usul yang sama beliau mendesak supaya SPR mewujudkan sistem pendaftaran pengundi secara automatik kepada rakyat Malaysia apabila sampai usia 21 tahun.
Katanya, kaedah tersebut bukan sahaja mempermudahkan tugas SPR, sebaliknya mengatasi masalah jutaan pemilih yang layak tidak mendaftar.
“Di samping itu SPR hendaklah bertanggungjawab memastikan bebas dari manipulasi pihak pemerintah,” katanya.
Wakil Petrajaya, Nazib Johari ketika membahas usul itu menggesa PKR segera menubuhkan Sekretariat Pakatan Rakyat di setiap peringkat cabang dan ranting bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Katanya, penubuhan segera sekretariat itu akan memudahkan urusan penyeliaan program termasuk koordinasi jentera pilihan raya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan