SERI KEMBANGAN: Pemecatan Setiausaha Agung MIC, S Murugesan hari ini disifatkan sebagai 'realiti' di bawah kepimpinan Datuk Seri S Samy Vellu apabila ia mengugat kepentingannya sebagai presiden.
”Itulah MIC di bawah pimpinan Samy Vellu,” kata bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan kepada pemberita selepas perhimpunan melancarkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di sini hari ini.
Beliau menyifatkan Murugesan sebagai seorang pemimpin yang budiman, berani, berwibawa dan tidak suka dengan apa yang dilakukan oleh presidennya.
Justeru, kata Mugilan, tindakan Murugesan menyatakan pendiriannya berkaitan tindak-tanduk dan keputusan Samy Vellu dalam kes pemecatan beberapa pemimpin parti itu minggu lalu telah menyebabkan dirinya dipecat sebagai setiausaha agung.
“MIC merupakan sebuah parti yang cantik dan bagus, tetapi kerana beliau (Samy Vellu) semuanya terjejas.
“Ini ibarat sebuah kapal apabila kapten mengemudinya dan melanggar bongkah ais, maka ia akan karam. Begitulah juga kapal Samy Vellu, nasib yang dialami MIC kini,” katanya.
Beliau mengulas tindakan terbaru Samy Vellu hari ini yang memecat Murugesan sebagai setiausaha agung parti kerana mengeluarkan kenyataan bahawa pemecatan empat orang pemimpin kanan MIC baru-baru ini sebagai tidak wajar.
Ketua MIC Negeri Sembilan, Datuk T Rajagopal telah dilantik menjadi setiausaha agung yang baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan