Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad memberi amaran kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala supaya tidak menakutkan rakyat miskin dengan mimpi ngeri negara akan muflis sekiranya subsidi tidak dihapuskan.
Beliau membidas kenyataan Idris yang mendakwa Malaysia akan muflis dalam masa 9 tahun sekiranya rakyat tidak bersedia menampung harga minyak, tol, elektrik dan bahan dapur yang tinggi.
Dr Dzulkefly melahirkan rasa kesal kerajaan BN menggunakan perang psikologi untuk memaksa rakyat menerima penghapusan subsidi.
Menyifatkan kenyataan Dr Idris Jala gempak semata-mata, Dr Dzulkefly mempertikaikan pendekatan kerajaan yang mahu rakyat membayar cukai dan harga yang tinggi, untuk menampung kerajaan yang boros.
Dr Dzulkefly tidak menolak fakta bahawa defisit negara membengkak pada paras yang amat tinggi hari ini, yang berpunca dari sikap kerajaan yang mensia-siakan wang rakyat.
"Betul bahawa kerajaan menanggung subsidi yang besar, tetapi jangan kita tidak tahu dalam persoalan fiskal, ada dua faktor penting. Bagi penentuan pendapatan kerajaan, pendekatan fiscal menggunakan dua perkara iaitu, satu cukai, dua subsidi. Kalau untuk meningkatkan pendapatan ialah dengan cara peningkatan cukai, dan kalau hendak mengurangkan perbelanjaan, dikurangkan subsidi, ini pendekatan fiskal," jelas beliau.
Dr Dzulkefly menasihatkan Dr Idris Jala supaya tidak memaksa orang-ramai tunduk kepada kehendak kerajaan BN yang mahu menampung amalan boros para pemimpin dengan mengenakan cukai tinggi keatas rakyat.
Sebaliknya Dr Idris disaran supaya menegur Perdana Menteri Najib Abdul Razak untuk mengekang pembaziran, menerapkan ketelusan dan ketanggungjawaban dalam operasi kerajaan, dan membebaskan syarikat-syarikat milik kerajaan seperti Sime Darby dan Pos Malaysia dari campurtangan politik.
Apa yang lebih penting, subsidi berbilion ringgit yang diberikan kerajaan BN kepada syarikat-syarikat gergasi seperti pengusaha jana tenaga bebas harus dipertimbangkan semula.
"Isu yang pakar-pakar ekonomi sebutkan bukan hanya tentang subsidi tetapi keseluruhan pengurusan ekonomi itu. Subsidi itu hanya satu sudut, dan kalau hendak ditarik balik pun mesti ada blue print yang menyeluruh, mesti disamakan dalam penampilan dan penyampaian Model Ekonomi Baru itu," jelasnya lagi.
Dr Dzulkefly berkata demikian mengulas kenyataan Idris yang dibuat di Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.
Dr Dzulkefly mengingatkan kerajaan BN bahawa subsidi yang diperuntukkan tidak sampai kepada golongan sasar.
"Dalam suasana hari ini, ketika kita dipersimpangan perbincangan tentang pelbagai isu-isu ekonomi termasuklah dalam pengenalan model ekonomi baru, tiba-tiba Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyebutkan bahawa, andainya kalau tidak kerajaan akan bankrup. Hujahnya terlalu mudah dan pada saya ada unsur-unsur tidak bertanggungjawab," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan