KUALA LUMPUR - Sebanyak 31 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan sehingga pukul 5.30 petang semalam menjadikan jumlah terkumpul 13,793 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican bagaimanapun berkata, tiada kematian terbaru akibat penyakit itu dilaporkan menjadikan jumlah kematian akibat H1N1 masih kekal 81 orang.
Menurutnya, enam kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) dilaporkan berlaku di Melaka, Pahang dan Johor sehingga pukul 8 pagi ini dengan jumlah terkumpul kes itu yang masih dirawat di hospital seluruh negara adalah 606 kes.
"Sebanyak 79 daripadanya disahkan positif H1N1 dengan tujuh kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lima daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai bahawa penularan jangkitan H1N1 terus aktif dalam komuniti dan menasihatkan mereka supaya terus mengamalkan langkah pencegahan.
Orang awam yang mempunyai risiko tinggi dijangkiti H1N1 dinasihatkan segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti kementerian seluruh negara.
"Hasil pemantauan mendapati vaksin tersebut adalah selamat untuk diambil tanpa sebarang kesan sampingan yang serius," katanya.
Maklumat lanjut, layari laman web Kementerian Kesihatan di http://h1n1. moh.gov.my atau hubungi talian 03-88810200/0300.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan