Oleh Mohd Azis Ngah
Program pemulihan Perkeso tempatkan 55 peratus pencarum di sektor sesuai
KUALA LUMPUR: Program Pemulihan Return To Work (RTW) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya membantu 744 pekerja mendapatkan pekerjaan mengikut kemampuan dalam tempoh dua tahun ia dilaksanakan.
Pencapaian itu dianggap membanggakan kerana jumlahnya 55 peratus daripada peserta program seramai 1,349, tidak termasuk 120 peserta yang menunggu untuk ditempatkan di mana-mana sektor yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.
Ketua Pengarah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, K Selvarajah, berkata program itu tindakan susulan bagi memastikan pekerja hilang upaya dan tidak mampu bekerja mendapat peluang baru.
Katanya, pendekatan baru itu sebahagian tanggungjawab sosial Perkeso serta mengubah tanggapan umum bahawa badan berkanun di bawah Kementerian Sumber Manusia itu sekadar menguruskan tuntutan pekerja.
“Contoh paling mudah ialah jika seorang pemandu lori terbabit kemalangan dan hilang kedua-dua kaki. Sudah tentu dia tidak boleh memandu dan kita akan bantu tingkatkan motivasi serta mengkaji kemampuannya.
“Mungkin kita boleh dapatkan pekerjaan sebagai petugas plaza tol, cuma perlu duduk di dalam bilik tol dan bekerja menggunakan tangan. Apa yang penting ialah kemahuan peserta dan kita akan sesuaikan dengan kemampuannya,” katanya.
Pihaknya juga mengadakan rundingan dengan syarikat berkaitan kerajaan supaya memberi peluang kepada pekerja.
Program RTW menumpukan pemulihan fizikal dan vokasional menerusi konsep pengurusan kes yang disediakan Perkeso secara percuma untuk pekerja yang mencarum sekali gus membolehkan mereka kembali semula bekerja secara selamat dan secepat mungkin.
Pengurus Cawangan RTW, Bahagian Operasi, Roshaimi Mat Rosely, berkata peserta dipantau 35 pengurus kes di seluruh yang melaporkan perkembangan peserta serta menyediakan laporan prestasi serta cadangan mendapatkan pekerjaan sesuai.
Pihaknya juga memberi motivasi berterusan untuk meningkatkan keyakinan diri tetapi program itu perlu mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk keluarga, majikan, doktor dan penyelia perkhidmatan.
“Daripada jumlah yang dirujuk kes, kami mendapati 975 daripadanya cukup bermotivasi untuk kembali bekerja dan 374 lagi sebaliknya dan 120 menunggu pekerjaan serta 42 masih dalam proses pemulihan,” katanya.
Bagi memastikan RTW mendapat maklum balas serta idea baru, Perkeso menganjurkan Seminar Kebangsaan Return To Work pada 27 Julai ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan