Jumaat, 28 Mei 2010

Saman Anwar terhadap Saiful - 23 Sept

BERNAMA



Saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan kerana niat jahat dalam membuat laporan polis bahawa beliau diliwat oleh ketua pembangkang itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 23 September.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, K Pavani menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas mengadakan pertemuan dengan peguam Jason Tay dan Zamri Idrus yang mewakili Mohd. Saiful.

Zamri memberitahu pemberita bahawa peguam plantif (Anwar) meminta mahkamah untuk tarikh lain bagi sebutan kes itu sementara menunggu perbicaraan jenayah Anwar mengenai pertuduhan liwat di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Mahkamah Tinggi Jenayah telah menetapkan 31 Mei hingga 4 Jun ini untuk meneruskan perbicaraan liwat Anwar. Mahkamah juga menetapkan sebulan dari 2 hingga 30 Ogos untuk perbicaraan itu.

Anwar, 63, memfailkan saman itu terhadap Mohd. Saiful, 25, pada 30 Jun 2008 yang mendakwa bahawa bekas pembantunya itu membuat laporan polis itu dengan motif jahat dan juga untuk menjejaskan peribadinya sebagai seorang ahli politik.

Dalam kenyataan tuntutannya, beliau berkata, Mohd. Saiful mengetahui bahawa pertuduhan liwat itu adalah palsu tetapi meneruskan dan membuat laporan polis pada 28 Jun 2008.

Beliau mendakwa ekoran laporan polis itu, reputasi beliau telah terjejas dan beliau sangat sengsara dan malu.

Mohd. Saiful dalam kenyataan pembelaannya pada Mei 2009 berkata, laporan polis itu adalah wajar dan jika tidak benar, pendakwaan tidak akan mengenakan pertuduhan liwat terhadap Anwar.


Tiada ulasan: