Isnin, 31 Mei 2010

MIC Akan Bangun Sebagai Parti Lebih Kuat, Tapi Sebelum Itu...

SERI KEMBANGAN: MIC bakal dibangunkan semula dengan formula baru sekiranya Datuk Seri S Samy Vellu mengundurkan diri sebagai presiden parti itu.

Bekas Naib Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan berkata, formula ini adalah satu perjuangan dan ia bukan untuk sekali ini semata-mata tetapi satu perjuangan yang berterusan.

“Generasi lama perlu dihormati, (namun) generasi baru perlu dipercayai,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di sini, hari ini.

Bagi Mugilan, beliau akan melakukan apa saja untuk meneruskan perjuangannya kerana ia bukan perjuangan untuk diri sendiri, sebaliknya demi rakyat Malaysia yang berbangsa India dan juga demi Malaysia.

Serentak dengan itu, beliau memberi tempoh berdamai selama seminggu kepada Samy Vellu dan akan melihat maklum balas daripada pihak-pihak lain serta pihak Samy Vellu sendiri termasuklah ahli-ahli MIC.

“Tempoh seminggu memberi peluang kepada beliau untuk memikirkan masak-masak dalam membuat keputusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mugilan menganggap perhimpunan GAS hari ini berjaya apabila Samy Vellu semalam mengatakan kesanggupannya untuk berundur sebagai presiden parti sekiranya diberikan satu tanggungjawab lain di luar MIC.

Justeru, beliau menyeru kepada pucuk pimpinan agar memberi apa saja jawatan yang dapat memuaskan hati Samy Vellu asalkan beliau bersedia melepaskan jawatan presiden MIC.

“Walaupun Samy Vellu belum berundur sebagai presiden MIC, namun perhimpunan hari ini dan apa yang berlaku sejak 10 hari lalu sudah cukup memberi tekanan kepada beliau untuk meletakkan jawatan.

“Secara terhormat, ingin saya katakan, cukup-cukuplah Samy Vellu. Apa lagi yang dia hendak? Orang sudah tolak, sudah benci dan tidak mahu beliau lagi memegang jawatan presiden MIC,” soalnya.

Ketika ditanya apakah pengunduran Samy Vellu itu bakal menarik semula mereka yang dahulunya menyokong MIC termasuk mereka yang telah menyertai parti lain, Mugilan enggan mengulas lanjut.

Namun sebaliknya, beliau percaya parti-parti kecil yang sebelum ini keluar daripada MIC akan berkumpul semula bagi menjadikan MIC sebagai sebuah parti yang lebih kuat setelah Samy berundur.

“Selepas itu, kita mungkin akan mengambil inisiatif untuk membawa penyokong-penyokong pembangkang kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya kepimpinan baru MIC nanti berjaya menstrukturkan semula parti,” katanya.

Menurut Mugilan, beliau percaya pucuk pimpinan akan membuat keputusan sama ada mereka mahukan Samy Vellu atau mahukan rakyat.

“Apa yang penting, matlamat saya (menerusi perhimpunan GAS) sudah pun tercapai dan sama-sama kita nantikan keputusannya selepas seminggu ini,” katanya.

Tiada ulasan: