Isnin, 31 Mei 2010

Murugessan pula jadi mangsa Samy Vellu

FREE MALAYSIA TODAY

iphonePictureFB 031 KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung MIC, S Murugessan telah menduga Datuk Seri S Samy Vellu akan melucutnya dari jawatan yang disandang itu apabila mempertikaikan secara terbuka keputusan presiden parti itu memecat empat ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) baru-baru ini.

Murugessan berkata beliau tidak terperanjat dengan tindakan Samy Vellu melucutkan beliau dari jawatannya.

"Apabila saya mengkritik presiden, saya tahu akibatnya. Saya tidak rasa marah dengan pemecatan itu. Saya telah membuat pendirian yang jelas mengenai perkara itu," katanya hari ini.

Semalam, Samy Vellu memecat Murugessan selepas beliau mengkritik presiden MIC tersebut yang sedang menghadapi krisis dengan beberapa pemimpinnya.

"Saya bersuara setelah merasakan `tidak boleh lagi mendiamkan diri’ dalam perkara tersebut. Saya mahu menyatakan sesuatu kerana ia maklum balas dari peringkat akar umbi, dari pengundi dan dari ahli parti. Jadi saya pun membuat kenyataan itu.

"Saya tidak akan merayu"

"Sebelum ini, saya tidak bersuara kerana tugas setiausaha agung MIC mesti membantu presiden dan parti," katanya.

Murugessan menjelaskan beliau tidak akan merayu dikembalikan semula jawatannya kerana jawatan itu hanya lantikan presiden. "Tidak perlu saya merayu. Saya dilantik oleh presiden dan kini presiden memecat saya.

"Tetapi saya masih ahli CWC. Setakat ini saya belum dipecat dari CWC," katanya.

Jawatan setiausaha agung MIC kini disandang oleh Ketua MIC Negeri Sembilan, Datuk T Rajagopalu. Berusia 56 tahun, Rajagopalu merupakan seorang peguam dan ahli CWC sejak tahun 1978.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada presiden kerana melantik saya dan saya akan mengambil arahannya.

"Saya akan berkhidmat kepada presiden dan parti secara ikhlas dan akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sementara itu, Gerakan Anti-Samy (GAS) yang diterajui oleh bekas timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan berjaya menarik 5,000 penyokong menghadiri perhimpunan itu di Pusat Konvensyen The Mines, Seri Kembangan samalam.

Mereka melaungkan "Musnahkan Samy" dan "Keluar Dari MIC" sebagai manifestasi penolakan ahli akar umbi parti itu terhadap Samy Vellu dari terus memegang jawatan presiden parti.

Walaupun jumlah kehadiran tidak memenuhi sasaran 15,000 penyokong tetapi Mugilan menyifatkannya sebagai satu kejayaan kerana terdapat beberapa halangan seperti perubahan tempat perhimpunan pada saat-saat akhir dan mendakwa beberapa penyokong "telah dibeli".

Perhimpunan GAS di adakan bagi mendesak Samy Vellu melepaskan jawatan yang dipegang beliau sejak 31 tahun lalu sebagai Presiden MIC untuk membolehkan parti komponen BN itu melaksanakan transformasi pentadbiran dan sekali gus mengembalikan semula sokongan masyarakat India.

Tiada ulasan: