Sabtu, 29 Mei 2010

Bahagian latihan, pengujian JPJ terdedah rasuah

UTUSAN ONLINE

PEKAN - Bahagian latihan dan pengujian bakal-bakal pemegang lesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikesan terdedah dengan elemen rasuah.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, pihaknya telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah itu antaranya memperkenalkan kurikulum baru bagi institut dan sekolah memandu yang kini dalam perancangan dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Kita juga kena pertingkatkan lagi integriti sama ada semasa latihan atau ujian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kertas kerja 'Halatuju Pelesenan Pemandu di Malaysia - Isu dan Strategi' pada Kolokium Pembangunan dan Kecemerlangan Institusi Pemanduan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima), Mat Aris Bakar.

Menurut Solah, keadaan diburukkan lagi dengan sikap segelintir masyarakat yang suka memberi suapan bagi mendapatkan lesen cara mudah tanpa menitikberatkan kualiti latihan memandu yang mereka peroleh.

"Bukan semua, kecenderungannya memang begitu. Sebab itu wakil institut memandu kata, kalau tak ajar banyak-banyak pun tak apa sebab sekarang bakal pemandu nak lulus cepat," katanya.

Solah berkata, perkembangan itu sebenarnya akan menjejaskan transformasi institut pemanduan yang sedang diusahakan oleh JPJ dalam usaha melahirkan pemandu berkualiti sekali gus mencapai sasaran kerajaan iaitu dua kematian bagi 10,000 kenderaan berdaftar.

Transformasi itu juga, katanya, menjurus pada peningkatan kualiti pengajaran, latihan dan ujian bakal-bakal pemandu, selain penggredan institut dan sekolah memandu yang ada di seluruh negara.

"Bagi cara ujian, kita telah ikut prosedur operasi standard dan kita juga bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk menggredkan institut memandu.

"Walaupun kita beri gred lima atau tiga bintang kepada institut berkenaan, permintaan di luar sana tak nak bintang, asalkan dapat lesen, cukup. Apa maknanya?

"Maknanya masyarakat pun kena ada kesedaran. Ia sama seperti kita berlumba-lumba menghantar anak ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan universiti yang terbaik, macam itu jugalah kita akan hanya menghantar anak ke institut memandu yang rekod kemalangan paling sedikit," katanya.

Dalam perkembangan sama, Solah mengajak pengusaha institut dan sekolah memandu sama-sama mengambil usaha melakukan transformasi dalam memberikan latihan kepada pemandu bagi mencapai Pelan Keselamatan Jalan Raya iaitu mengurangkan kemalangan maut di negara ini.

Tiada ulasan: