Isnin, 31 Mei 2010

Ezam dakwa Anwar tahu siapa taja Raja Petra

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd Noor percaya Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu siapa dalang di sebalik kemewahan yang dikecapi pengendali blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin di luar negara.

Menurutnya, sebelum ini Raja Petra, atau lebih dikenali dengan panggilan singkat RPK sahaja, dibayar oleh individu tertentu setiap bulan untuk mengendali laman blog Free Anwar Campaign (FAC).

“Ketika dia mengendali FAC, Anwar masih lagi berada dalam tahanan penjara dan Raja Petra diupah mengendali laman itu sebelum membuka laman web Malaysia Today.

“Individu yang mengupah Raja Petra itu adalah orang kuat Anwar. Jadi tidak mustahil beliau tidak tahu siapa yang turut berkomplot dan menaja Raja Petra di luar negara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ezam berkata, beliau berjanji mengemukakan saman terhadap dia (Raja Petra) sebaik lelaki itu kembali ke tanah air kerana pernah menuduhnya menggelapkan jutaan ringgit wang milik jutawan George Soros.

“Jika sebelum ini dia pernah berbohong menuduh saya menggelapkan wang, sekarang saya hendak cabar dia tunjukkan muka di tanah air supaya berdepan di muka pengadilan.

“Saya berani berkata begini kerana saya mengenali latar belakang beliau dan orang lain yang rapat dengannya sebelum dia lari ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee :berkata, kerajaan perlu segera melucutkan kerakyatan RPK kerana sudah tidak berminat lagi berada di Malaysia.

"Ini digambarkan dengan kegiatannya di luar negeri boleh memudaratkan keamanan negara ini.

"Lagipun kata beliau, Raja Petra telah menyusup masuk ke United Kingdom (UK) kerana lari daripada tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas beliau sebelum ini," katanya.

Katanya, Raja Petra adalah manusia pengecut, pengkhianat dan tali barut kepada kuasa asing. Maka kerajaan perlu melucutkan kerakyatannya. Lagipun dia tidak berminat: berada di negara ini.:

Syed Ali berkata, rakyat yang tidak setia kepada negara ini tidak wajar diberikan tempat dan Raja Petra perlu dikenakan hukuman setimpal di atas perbuatannya.

Serentak itu Syed Ali mendesak kerajaan supaya segera menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengenal pasti tokoh korporat dan sektor swasta yang terbabit dalam isu pembiayaan Raja Petra, pengendali blog Malaysia Today yang sedang berlindung di UK.

Tiada ulasan: