Sabtu, 29 Mei 2010

Kedudukan Khalid Ibrahim bergoyah?

Chan Wei See



Kedudukan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bergoyah?

Reaksi pemimpin ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat agak menarik ketika respon kepada persoalan ini. Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim berkata persoalan ini tidak berbangkit "setakat ini", sebaliknya jawapan dua orang pemimpin dari PAS dan DAP lebih memperlihatkan "sokongan yang sepenuhnya" kepada Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali memberi keyakinan yang sepenuhnya kepada Khalid, sementara Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendakwa bahawa "persoalan ini tidak wujud langsung".

Antara yang hadir ke Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan PKR ke-6 yang bertempat di Kelantan Trade Centre, Kota Bahru pada pagi ini adalah Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat, Lim Kit Siang, Mustafa Ali, selain duta besar dan pemerhati.

Dikritik Raja Petra Kamaruddin

Dalam sidang media yang diadakan selepas Majlis Perasmian, pemimpin PR diajukan soalan sama ada kedudukan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bergoyah, lantaran dilontar tuduhan rasuah dalam isu pasir, malah dikritik blogger Raja Petra Kamaruddin (RPK)?

Anwar tidak menjawab soalan secara terus, sebaliknya berkata, "(Kerajaan negeri Selangor) membuat keputusan untuk membuka fail penyiasatan, ini telah diputuskan. Khalid (gambar kiri) telah mengumumkan, SELCAT yang diketuai Teng Chang Khim (speaker DUN) akan memulakan penyiasatan pada minggu depan. Maksud anda (kepada wartawan), isu pasir?"

"Isu pasir dan kritikan Raja Petra Kamaruddin bahawa Khalid Ibrahim bukan orang yang sesuai untuk memimpin Selangor," jawab wartawan MerdekaReview.

Pandangan peribadi RPK

Anwar Ibrahim memandang ke arah Lim Kit Siang dan Mustafa Ali, dan kemudiannya berkata "Itu macam Datuk Mustafa sebut, itu soal pandangan peribadi (RPK)-lah. Soalnya kalau ada laporan tentang rasuah, macam Presiden kata, kita jangan selindung, siasat. Tak payah tunggu SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) ke sebagainya, kami ada mekanisme sendiri."

Beliau menambah, "Kita ambil tindakan segera, kerana keyakinan kepada institusi yang lain...ada persoalan."

Wartawan menyusul dengan soalan, "Apakah kuasa pimpinan Khalid masih kukuh?" Dengan tenang dan cermat Anwar Ibrahim menjawab, "Setakat ini tak berbangkit (persoalan ini), cuma ada beberapa pandangan, dan saya ingat kena rujuk ucapan Presiden. Sementara kita kata, MB dan pimpinan Selangor buat ada yang baik, ketelusan, accoutability (bertanggungjawab). Tapi kita mahu disegerakan beberapa program yang memberi faedah kepada rakyat. Ditingkatkan lagi. Itu ada pandangan."

Wartawan Malaysian Insider menyusul dengan memetik suara yang menuntut agar Khalid berundur dari Pengerusi Perhubungan PKR Selangor, Anwar tersenyum sambil memandang ke Wan Azizah, "Ini perlu tanya Presiden, ini soalnya."

Azizah: Tiada setakat ini

Wan Azizah (gambar kiri, kiri) berkata, "Setakat ini, tidak adalah. Tidak ada apa ni... Apa-apa langkah untuk menukar Tan Sri Khalid setakat inilah. Kita akan berbincang dengan parti dan negeri Selangor untuk mendapat pandangan. Tapi setakat ini, sebagai Menteri Besar, dia menerajui parti di Selangor. "

Mustafa Ali mencelah, "Saya berkata sebagai salah satu komponen dari Selangor (PR). Kami memiliki keyakinan yang sepenuhnya kepada Khalid. Sepanjang ini, beliau melakukan dengan baik. (He has been doing a very good job)"

Lim Kit Siang mengambil kesempatan untuk berkata, "Berhubung persoalan Khalid menjawat Menteri Besar, persoalan berhubung kedudukannya langsung tidak wujud."

Teks ucapan diubah

Sebelum ini, Presiden PKR memuji dan menegur pimpinan Khalid dalam ucapan dasarnya. Apa yang menarik, daripada teks asal yang diterima oleh wartawan dengan versi akhirnya, satu perenggan telah dimansuhkan, berbunyi:-

"Memang tidak adil setiap langkah dan tindak-tanduk kita dikaji, diulas, dan selalunya dikritik, sedangkan usaha-usaha Kerajaan Negeri Selangor adalah jauh lebih baik dan kreatif, berbanding kerajaan negeri lain terutamanya di bawah kuasa Barisan Nasional. Kita harus melihat perkara ini dari perspektif positif. Tumpuan yang diberikan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, adalah pengiktirafan bahawa inilah kerajaan negeri yang akan menjadi cermin kepada Kerajaan Persekutuan yang bakal kita terajui kelak, InsyaAllah."

*Chan Wei See ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemahkan oleh Lim Hong Siang.

1 ulasan:

SUARA RAKYAT KUNAK berkata...

Perkara kecil janganlah di perbesar besarkan, Selangor di bawa kepimpinan DSKI jauh lebih maju dari pada kepimpinan DSKT, rakyat telah pun merasa hak mereka, kalau dulu, kutipan tol tandas pun DSKT nak kebas.yang perlu di ambil perhatian Negara sekarang dah hampir muflis? dan persediaan PRU ke 13.