Ahad, 30 Mei 2010

Zaid saman SPR hujung Jun


KOTA BARU — Datuk Zaid Ibrahim akan memfailkan tindakan undang-undang ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang beliau dakwa tidak mengendalikan pilihan raya dengan adil akhir dan bebas akhir bulan depan.

“Sebelum hujung bulan (Jun) ini saya juga akan mengemukakan satu lagi tindakan undang-undang terhadap SPR kerana tindakan mereka menyokong Barisan Nasional (BN),” kata beliau ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional Keenam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain itu beliau juga akan memfailkan kes terhadap SPR atas alasan cuai melaksanakan tanggungjawabnya sebagai badan pengendali pilihan raya.

Pada 24 Mei lalu, Zaid (gambar), anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, memfailkan petisyen bagi mengisytiharkan pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor bulan lalu tidak sah dengan mendakwa wujudnya amalan rasuah membabitkan BN.

Pilihan raya kecil itu diadakan pada 25 April lalu.

Pada pilihan raya kecil itu, Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC menewaskan Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bagi merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi.

Kamalanathan menerima 24,997 undi manakala Zaid memperoleh 23,272 undi.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, Pakatan Rakyat mampu menawan Putrajaya jika pilihan raya umum diadakan hari ini.

“Seleaps saya hitung dan buat kiraan, berdasarkan senario di Sibu, senario di Hulu Selangor dipanjangkan, dengan sokongan orang Cina kira-kira 70 peratus dan India 40 peratus dan Melayu dengan 40 peratius, dan jika dapat ditingkatkan kepada 50 peratus, kalau pilihan raya umum diadakan diadakan hari ini, Putrajaya adalah milik kita.

“Tetapi, jangan syok sendiri... ada kemungkinan (kita boleh menang)... kita kena terjemahkan sentimen itu kepada undi, dalam bentuk sokongan

“Sentimen sahaja tidak cukup tetapi kita kena terjemahkan kepada undi,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Tiada ulasan: