PETALING JAYA — Perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di Pusat Konvensyen The Mines di Seri Kembangan dekat sini esok akan menjadi titik tolak kepada pembaharuan dalam masyarakat India di negara ini, kata bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan.
Penyelaras GAS itu berkata mereka hanya menyediakan landasan tetapi segala perubahan hanya boleh dilakukan sekiranya masyarakat India bersedia untuk berubah.
“Esok adalah hari penentuan untuk berubah. Perjuangan ini bukannya perjuangan saya, bukan perjuangan mereka yang dilucutkan jawatan. Perjuangan ini adalah perjuangan kaum India,” katanya.
“Esok kalau ada ramai peserta bermakna mesejnya jelas, Samy Vellu (Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu) mesti berundur,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri tiga lagi penggerak perhimpunan itu iaitu bekas anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) K.P. Samy, G. Kumar Aamaan dan bekas Ketua MIC bahagian Petaling Jaya V. Subramaniam atau Bharat Maniam.
Mugilan berkata sekiranya perhimpunan itu tidak mampu menarik kehadiran ramai orang beliau serta tiga lagi penggerak GAS itu tidak akan merayu untuk kembali semula kepada MIC sebaliknya akan terus berjuang bagi memastikan Samy Vellu terus diberi tekanan.
Dalam pada itu, Bharat Maniam pula berkata, perhimpunan itu adalah untuk memulihkan demokrasi dalam parti itu.
Katanya, perhimpunan itu bukan untuk memperjuangkan kepentingan peribadi tetapi sebaliknya lebih kepada tindak balas terhadap tindakan dan keputusan yang dibuat Samy Vellu.
Katanya, kejayaan perhimpunan itu akan memberikan isyarat jelas bahawa masyarakt India memerlukan seorang pemimpin baru yang berkemampuan menjalankan tugas dan meneruskan perjuangan kaum India.
Perhimpunan tersebut adalah bagi mendesak Samy Vellu berundur dari jawatanntya Julai depan dan bukan pada September 2011 seperti diumumkan oleh presiden itu sebelum ini. —
Tiada ulasan:
Catat Ulasan