Jumaat, 28 Mei 2010

Perutusan Hari Wesak PKR

MERDEKA REVIEW



Kepada seluruh penganut agama Buddha di Malaysia saya ucapkan selamat menyambut Hari Wesak, suatu hari yang bermakna khas buat penganut agama Buddha bagi mengenangkan hari kelahiran, pencerahan dan kematian
Gautama Buddha.

Gautama Buddha seorang anak putera di India ribuan tahun dulu telah memilih jalan susah untuk menemui makna hidup yang sebenar dengan menjalankan hidup seperti rakyat biasa. Selama 49 tahun Buddha menyebarkan ajaran dengan penuh kesabaran dan menjawab segala persoalan orang ramai dengan bersungguh-sungguh, tanpa kira agama dan lapisan masyarakat.

Sifat mulia dan kasih sayang sesama manusia yang didukung oleh Gautama Buddha sepanjang hidupnya merupakan prinsip yang penting diamalkan oleh seluruh anggota masyarakat kita hari ini, sejajar dengan nilai yang kami war-warkan selama ini, yakin Kepedulian Rakyat agar hak dan kebajikan rakyat jelata, khususnya golongan miskin dan susah dijaga.

Sebarang percubaan untuk memprovokasi kemarahan terhadap kaum lain harus dibanteras sama sekali kerana keadilan sosial dan perpaduan negara hanya dapat dicapai dengan adanya ruang demokrasi dan kebebasan untuk berdialog, bukannya tindakan menghina kaum atau agama lain.

Turut dihayati ajaran agama Buddha yang menyanjung nilai-nilai insaniah dan menolak penindasan terhadap manusia.

Maka, kami tekad bersama dengan rakyat dalam perjuangan membebaskan Negara ini daripada penindasan dan kezaliman, semoga keadilan, kesaksamaan dan demokrasi dibangunkan.

*Kenyataan media oleh Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Tiada ulasan: