Khamis, 27 Mei 2010

Ada usaha gagal perhimpunan anti-Samy

Jimadie Shah Othman



Koordinator Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS), V Mugilan mendakwa terdapat usaha menekan pihak pengurusan Pusat Dagangan Dunia Petra (PWTC) supaya membatalkan perhimpunan anti-presiden MIC itu Ahad ini.

Bekas timbalan ketua Pemuda MIC itu mendakwa tekanan itu diusahakan oleh Samy Vellu dan anggota keluarga presiden MIC itu.

"Saya sedang bincang dengan PWTC tentang perkara itu. Walaupun ada tekanan maksimum. Saya degil (untuk teruskan)," katanya hari ini.

Dalam sidang media di sebuah restoren mamak di Petaling Jaya, Mugilan juga mendakwa beliau mendapat banyak panggilan dari anggota parti yang memaklumkan kepadanya bahawa terdapat usaha 'memberi wang' kepada ahli MIC supaya jangan menghadiri perhimpunan GAS Ahad ini.


"Beri duit ambil. Itu duit kita. Tetapi Ahad ini kena datang," rayunya kepada ahli parti India itu.

"Kita dengar juga mereka halang bas dari Pulau Pinang bagi membawa orang ke Kuala Lumpur (untuk perhimpunan itu). Jangan takut, kalau (perlu) berjalan kaki daripada sana pun, kita akan jalan."

Ditanya sama ada beliau akan melaporkan 'pemberian duit' itu kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata, ia tidak perlu kerana amalan itu "sudah 31 tahun berlaku dalam masyarakat India"

Diminta menjelaskan rundingannya dengan pengurusan PWTC semalam, Mugilan bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara itu.

"Saya tidak mahu komen tentang perkara itu. Setakat ini kita sudah tempah di situ," katanya sambil berkata pihaknya juga sedang memikirkan 'plan B' atau rancangan alternatif sekiranya tempahan dewan di bangunan PWTC dibatalkan.

'Surat cinta' untuk Vell Paari

"Kita boleh berhimpun di dewan PWTC, pejabat agung MIC atau Batu Caves," katanya.

Mugilan menambah, beliau yakin, sekiranya pertukaran tempat berlaku, kebenaran polis untuk berhimpun juga tidak akan menghadapi sebarang masalah kerana "permit sudah ada".

"Itu tidak ada hal," katanya.

Dua lagi bekas AJK MIC yang dipecat kerana mendesak Samy Vellu meletakkan jawatan - KP Samy dan G Kumar Aamaan - turut hadir dalam sidang media itu.

Mereka sebelum itu mengadakan sidang media lebih awal, dengan terus mempertikaikan kewibawaan pentadbiran Samy Vellu, kali ini berhubung 'kegagalannya' mengambil tindakan tegas pada anaknya S Vell Paari.

Katanya, tindakan Vell Paari mendakwa Umno menggunakan pendekatan "pembunuhan politik" untuk memecahbelahkan MIC telah memberikan kesan tidak baik kepada parti India itu.

"Kalau kami dapat surat pemecatan. Bila tiba giliran anaknya, dapat surat cinta," kata KP Samy menyindir.

Tiada ulasan: