BERNAMA
MELAKA: Kesemua hampir 1,000 tenaga pengajar dalam program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara akan diberi latihan semula untuk diajar teknik baru serta bantuan mengajar menggunakan peralatan terkini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pada masa kini terdapat lebih 400 buah PDK di seluruh negara dan latihan semula itu akan dilakukan dalam masa terdekat.
"Kita akan latih mereka dengan metadologi dan teknik terbaru termasuk terapi muzik dan alat-alat bantuan yang canggih untuk meningkatkan tahap pengajaran kepada golongan orang kurang upaya (OKU)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat Umno Bahagian Tangga Batu di Pantai Puteri di sini hari ini.
Beliau berkata latihan kepada guru-guru PDK akan dilakukan di Kuala Lumpur dan kementerian telah menawarkan program pertama kepada 10 orang guru di PDK Parlimen Tangga Batu.
Katanya latihan semula kepada tenaga pengajar PDK juga akan memberi penekanan kepada langkah-langkah awal untuk memberi bantuan kepada OKU.
Program PDK yang bermula sejak 1984 dan antara objektifnya untuk mengalakkan pengunaan cara yang mudah dan teknik yang diterima dalam program pemulihan OKU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan