Isnin, 31 Mei 2010

Anwar Cabar Najib Hapuskan Subsidi RM20 Bilion Setahun Kepada IPP

SUARA KEADILAN

KOTA BHARU - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri supaya menarik balik subsidi RM20 bilion yang diberikan kepada syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan menyelamatkan ketirisan ekonomi sebanyak RM28 bilion setahun dan tidak menjadikan rakyat mangsa kepada kegagalan kerajaan mentadbir kewangan negara.

Anwar berkata rakyat tidak seharusnya menanggung beban kesan daripada amalan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan yang berkalu secara berleluasa di bawah pemerintahan Umno-BN.

"Siapa yang memiliki IPP di negara ini? Mereka adalah tauke dan tokoh korporat yang ingin diselamatkan oleh Umno-BN kerana kroni dan keluarga mereka juga menikmati kekayaan IPP yang dibantu oleh Umno-BN.

"Rakyat yang miskin terus dizalimi dan ditindas dan Umno-BN tidak mempedulikan nasib mereka kerana kuasa yang ada pada Umno-BN hanya digunakan untuk memperkayakan beberapa kerat kroni da kaum kerabat mereka," kata Anwar pada Ceramah Perdana di Padang Perdana malam tadi.

Menyentuh isu lompat oleh beberapa bekas wakil rakyat KEADILAN, Ketua Umum berkata beliau mempunyai cukup maklumat dan bukti untuk mendedahkan sogokan dan rasuah sebanyak RM2 juta dan kontrak yang diberikan sebagai imbuhan memujuk wakil rakyat terbabit keluar parti dan menjadi anggota Bebas.

"Saya ada bukti cukup dan akan saya dedahkan dalam parlimen kelak. Kalau ditanbya di mana saya simpan bukti, di rumah tidak ada, di pejabat lagi tidak ada, dalam beg pun tidak ada, saya sudah lupa mana saya letak," kata beliau berjenaka kepada hampir 20,000 penyokong.

Beliau juga berkata KEADILAN akan lebih berhati-hati memilih calonnya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen mengambil pengalaman pahit lompat parti oleh wakil rakyat parti.

"Kita akan pastikan mereka melalui tarbiyah yang cukup untuk pastikan mereka adalah calon yang sebenarnya bersama perjuangan parti. Kalau tak boleh ikut tarbiyah kita akan kelurakan mereka sebagai calon. Kita mahu mereka berikrar taat setia kepada parti dan tidak sekali-kali terfikit untuk lompat dan khianati perjuangan parti," tegas Anwar lagi.

Tiada ulasan: