Ahad, 30 Mei 2010

MIC Kedah sokong kenyataan Setiausaha Agung


Malaysian_Indian_Congress_logo Oleh B Nantha Kumar


PETALING JAYA:Ketua Pemuda MIC Kedah L Thiagarajan hari ini menyatakan sokongan penuh beliau kepada Setiausaha Agung S Murugesan yang mempertikaikan tindakan Presiden Datuk Seri S Samy Vellu memecatkan empat pemimpin parti itu dua minggu lalu.

"Kuasa yang ada pada presiden untuk memecat ahli harus diguna sebagai langkah terakhir dan bukan langkah pertama. Jika perkara ini berlanjutan, segala-galanya akan lenyap kerana semua ahli kena pecat," jelas beliau kepada Free Malaysia Today, hari ini.

Gerakan Pemuda MIC Kebangsaan di bawah pimpinan T Mohan telah mengambil berbagai langkah untuk memikat pemuda-pemuda dari masyarakat India untuk menyertai parti.

Tetapi tindakan presiden memecat empat pemimpin, menjadi bertambah sukar untuk gerakan pemuda MIC untuk mencari ahli baru, terutama di Kedah.

"Satu ketika Samy Vellu merupakan aset parti tetapi kini menjadi liabiliti. Beliau patut faham keadaan sekarang ini dan harus berbuat sesuatu. Saya sungguh kesal di mana beliau adalah seorang pemimpin yang dihormati pada masa lampau dan kini dikecam hebat," katanya.

Thiagarajan juga berkata beliau bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan disipilin ke atas dan pendiriannya tetap sama.

Beliau berkata, "bagi saya parti lebih penting daripada presiden parti."

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa pusat yang dipecat, G Kumar Ammaan berkata bahawa beliau berbangga dengan kenyataan berani setiausaha agung itu.

"Inilah demokrasi yang sebenar. Inilah yang kita terima daripada pemimpin parti," ujar beliau.

Tiada ulasan: