Jumaat, 28 Mei 2010

PAS BIDAS RAHMAN DAHLAN SOKONG LESEN JUDI

Oleh: SALMAN AMIN


DEWAN Pemuda PAS Sabah, membantah sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menyokong kelulusan lesen judi sempena Bola Sepak Piala Dunia yang bermula pada Jun ini dan menggesa Rahman membuat pertimbangan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan semua pihak, khususnya umat Islam di Kota Belud.

Al quran sendiri menjelaskan dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud;

“Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan."

Perintah Allah s.w.t seperti ayat di atas merupakan perintah yang begitu jelas agar setiap orang Islam menjauhi perbuatan judi termasuklah apa juga tindakan yang memberikan ruang kepada aktiviti perjudian. Apakah Abdul Rahman Dahlan mahu menghalalkan judi setelah ia secara terang diharamkan oleh Islam?

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al maidah ayat 91 yang bermaksud;

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul-(Nya) dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kewajiban Rasul Kami, hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.”

Al Quran dalam pengharaman arak disempurnakan secara berperingkat dan tidak secara serta merta kerana aktiviti ini sudah menjadi budaya dalam masyarakat arab jahiliyah ketika itu. Kaedah ini juga boleh digunakan kepada pengharaman judi secara berperingkat. Adakah dengan memberi kelulusan kepada lesen judi ini selari dengan kaedah pencegahan yang ditunjukkan oleh Al Quran?

Alasan meluluskan judi seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan juga terlalu mengikut pandangan sendiri sehingga menolak ke tepi panduan yang diberikan di dalam Al Quran.

Sebagai seorang muslim beliau sepatutnya bertanya dahulu kepada orang yang lebih tahu, bukannya dengan membuat tindakan melulu menyokong kelulusan lesen judi tersebut. Bukankah lebih baik beliau berdiam diri daripada membuat sebarang kenyataan?

Jika Abdul Rahman Dahlan tidak menarik segera kenyataan yang dikeluarkan itu, bimbang terdapat segelintir masyarakat di sekitar Kota Belud tidak lagi segan-segan untuk bermain judi secara terang-terang kerana ada kebenaran dari YB.

Kenyataan beliau itu bukan sahaja akan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai MP Kota Belud malah dilihat bersifat ada kepentingan peribadi.

Tiada ulasan: