Jumaat, 28 Mei 2010

Anwar: Ada Bukti Kukuh Wakil Rakyat Keluar Ditawar RM2 Juta

TV SELANGOR

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pihaknya mempunyai bukti kukuh menunjukkan wakil-wakil rakyat yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat ditawar RM2 juta dan kontrak lumayan sebagai ganjaran.

“Kini kita telah memperoleh keterangan kukuh bahawa ahli Parlimen ditawar RM2 juta dan ada juga yang mendapat kontrak kerajaan berjuta ringgit nilainya,” kata Anwar dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata selama ini acapkali “kita mendakwa wakil-wakil rakyat Pakatan yang “melompat” dan bersekongkol dengan Umno-BN di atas nama ‘wakil bebas mesra BN’ diberikan ganjaran wang dan kontrak.”

Katanya. Selama itulah mereka belum memberikan sebarang penafian tegas, sebaliknya berdolak dalih mengalih pandangan massa.

Bagaimanapun tegas Penasihat PKR itu, kini pihaknya sudah memperoleh bukti berkenaan.

Selasa lalu The Malaysian Insider memetik sumber daripada kalangan pemimpin parti itu melaporkan PKR bercadang untuk mendedahkan perkara itu dengan terperinci dalam Kongres Nasional Keenamnya.

Sejak awal tahun 2009, 10 orang masing-masing lima Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah keluar PKR dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Tanpa menyatakan bila maklumat itu diperolehi, Anwar berkata, bukti kukuh itu akan dimaklumkan dalam waktu terdekat.

“Maklumat tersebut akan didedahkan kepada umum dalam tempoh terdekat insha-Allah,” katanya.

Anwar akan menghadiri Kongres Nasional Keenam peringkat pusat yang bermula esok.

Bagaimanapun dalam kenyataan itu Anwar tidak menjelaskan sama ada pendedahan melibatkan Ahli Parlimen atau ADUN ataupun kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, The Malaysian Insider beberapa pemimpin PKR menunggu “lampu hijau” pucuk kepimpinan untuk membuat pendedahan ketika Kongres Nasional Keenam PKR di Kota Baru.

“Kami mengarah ke sana, sekarang tunggu lampu hijau daripada (Penasihat PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, bila dan siapa yang perlu membuat pendedahan... kemungkinan ketika Kongres Nasional kali ini... sama ada Datuk Seri Anwar sendiri ataupun pemimpin kanan yang lain,” kata seorang pemimpin kanan parti itu, tetapi enggan namanya didedahkan atas alasan parti masih memikirkan strategi pendedahan.

Menurut pemimpin itu, pendedahan mereka akan memfokus terhadap lima Ahli Parlimen yang kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas di Dewan Rakyat.

Kecuali Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang telah dipecat oleh PKR, empat lain mengumumkan keluar parti atas kerana kononnya kecewa dengan kepimpinan dalaman PKR dan juga Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: