Sabtu, 29 Mei 2010

Ali Rustam: Ujian ke atas haiwan tak salah

Joseph Sipalan



Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam hari ini mempertahankan keputusan kerajaan negeri membenarkan penubuhan sebuah pusat bioteknologi yang bernilai jutaan ringgit bagi menjalankan beberapa siri ujian ke atas binatang.

Katanya, tidak ada salah bagi Malaysia mempunyai kemudahan makmal ujian seperti itu kerana negara-negara lain di seluruh dunia juga melakukan perkara yang sama terhadap binatang.

“Dalam Islam, Allah menjadikan haiwan sebagai makanan dan juga untuk digunakan oleh manusia. Mana boleh dihalang kita jalankan ujian ke atas haiwan? Anda mahu ujian dijalankan ke atas manusia?

“Itu takdir (binatang),” katanya kepada wartawan di Petaling Jaya selepas perjumpaan dengan rakan-rakan Facebook.

Ali Rustam mengulas bantahan daripada kumpulan pejuang hak binatang berhubung penubuhan sebuah makmal ujian di Rembia, Alor Gajah.

Bulan lalu, Malay Mail melaporkan makmal ujian berkenaan akan ditubuhkan oleh Vivo BioTech (M) Sdn Bhd, yang menjalankan usaha-sama dengan Vivo BioTech Ltd yang berpangkalan di India dengan Vanguard Creative Technologies Sdn Bhd.

Syarikat itu bercadang mengimport sejenis anjing dari Belanda untuk kegunaan makmal manakala tikus putih pula akan digunakan sebagai ujian di makmal kecil.

Sekiranya dibenarkan, syarikat berkenaan akan juga menggunakan primat yang akan didatangkan daripada bekalan tempatan.

Projek itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk daripada Persatuan Menghalang Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor dan beberapa pertubuhan antarabangsa seperti
British Union for the Abolition of Vivisection (Buav) dan European Coalition to End Animal Experiments (ECEAE).

Menurut Ali Rustam dia kurang faham mengapa aktivis berkenaan menimbulkan isu berkenaan dan melabelkan mereka sebagai kumpulan yang berangan-angan.

Katanya, jika dadah tidak diuji ke atas monyet, adalah mustahil untuk mengetahui sama ada ia selamat untuk digunakan oleh manusia.

Tiada ulasan: