Isnin, 31 Mei 2010

Mugilan: Perhimpunan GAS berjaya

Hazlan Zakaria



Bekas timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan berkata perhimpunan Gerakan Anti Samy (GAS) di Pusat Konvensyen Mines di Serdang hari ini adalah berjaya walaupun mendakwa ada "taktik samseng" digunakan untuk menggagalkannya.

Hanya 3,500 hadir menyertai perhimpunan itu walaupun Mugilan menjangka 15,000 akan hadir.

Mugilan mendakwa ia kerana wang digunakan untuk menghalang orang ramai daripada menghadiri perhimpunan hari ini.

“RM5 juta telah dibelanjakan untuk menghalang orang ramai daripada datang menghadiri perhimpunan tersebut," dakwa Mugilan.

Beliau mendakwa bas-bas dari Pulau Pinang dan Pahang telah dihalang dan RM5,000 dibayar bagi setiap bas supaya tidak menyertai penghimpunan hari ini.

Namun begitu, Mugilan berkata GAS telah berjaya menyampaikan mesejnya kepada rakyat dengan terang dan jelas.

“Selama seminggu, kami dilaporkan media dan di Internet. Semua rakyat telah melihat dan mendengar mengenainya. Program ini telah berjaya memberi tekanan kepada (presiden MIC) Datuk Seri S Samy Vellu untuk meletak jawatan," katanya sambil menambah BBC turut menyiarkan program tersebut.

Tiada ulasan: