Isnin, 31 Mei 2010

3,000 RAYU BINA MASJID DI TAMAN MESRA

RAYU… Haji Andi merayu JHEAINS menaik taraf Surau Saidina Ali Abi Talib sebagai masjid.

Oleh: MASTOPO SUMARJO


TERBINANYA sebuah surau di Taman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra Kilometer 7.8 Jalan Utara, Sandakan yang siap sepenuhnya pada November tahun lalu merupakan satu rahmat kepada 3,000 penduduk Islam di kawasan perumahan itu kerana memudahkan mereka menunaikan ibadat dan menjadi institusi ilmu.

Pembinaan surau tersebut sememangnya dinanti-nantikan selama ini oleh penduduk taman berkenaan, sekurang-kurangnya memudahkan mereka sembahyang berjemaah, tadarrus al-Quran, sembahyang tarawih dan ceramah agama; sekaligus menggantikan peranan ‘kolong’ dan jalanraya selama ini.

Projek pembinaan surau berkenaan yang telah menelan belanja hampir RM200 ribu itu sudahpun dirasmikan oleh Ketua Bahagian UMNO Sandakan yang juga merangkap Timbalan Ketua USIA Sabah, Tan Sri Hj Ampong KK Puyun pada Disember lepas dan dinamakan Surau Saidina Ali Abi Talib.

Timbalan Pengerusi Surau Saidina Ali Abi Talib, Haji Andi Zakaria Palawong memberi tahu, surau berkenaan boleh menampung seramai 500 jemaah dalam satu masa dan kini surau tersebut sudahpun digunakan sepenuhnya untuk solat lima waktu.

Tetapi sayang sekali, kata Haji Andi surau berkenaan tidak boleh digunakan untuk sembahyang Jumaat dan keadaan ini amat menyedihkan umat Islam di Taman Mesra.

Menurut Haji Andi, pihak Jawatankuasa surau ini sudah menyerahkan sepucuk surat rasmi kepada MUIS dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan meminta surau ini dinaik taraf sebagai masjid demi membolehkan umat Islam mengerjakan solat jumaat; tetapi permohonan mereka tidak mendapat respon dan layanan sewajarnya.

“Setiap hari jumaat kami gelisah kerana terpaksa ke Masjid Daerah atau Masjid IPD (Ibu Pejabat Polis) dan ada yang pergi Ke Masjid Pengiran Galpam, Masjid Sri Taman dan sebagainya kerana surau ini belum ditauliahkan dan terlalu kecil untuk menampung jemaah yang ramai,” ujar Haji Andi kesal kerana sudah hampir 47 tahun merdeka tetapi terpaksa menumpang sembahyang di masjid lain.

Tegas Haji Andi, apalah gunanya masjid didirikan dengan kos beratus ribu ringgit itu tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Islam di taman ini sekalipun jawatankuasa surau berkenaan sudahpun menemui seorang yang layak dilantik sebagai Imam Qariah dan namanyapun sudah diajukan kepada pihak yang berkenaan tetapi tidak diambil sebarang tindakan sehingga kini.

“Sampai bilalah masyarakat Islam di taman ini terus menumpang sembahyang di tempat orang sedangkan taman ini sudah mempunyai suraunya sendiri yang serba serbi indah,” kata Haji Andi lagi.

Kata Haji Andi lagi, kalaulah mereka tahu beginilah jadinya, kerajaan tidaklah perlu membina surau di taman ini kerana membazir wang pembayar cukai jika sekadar menjadi hiasan dan lambang agama sahaja.

“Demi kebaikan masyarakat Islam di taman ini, saya mewakili 3,000 umat Islam di sini merayu kepada JHEAINS (kerajaan negeri) agar meluluskan permohonan kami dengan secepat mungkin” rayu Haji Andi menahan sebak kerana sedih dengan nasib umat Islam yang dihina sebegitu rupa di sebuah negara yang agama rasminya Islam.

Tiada ulasan: