KUALA KRAI: MIC Kelantan malam ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu untuk terus menerajui parti itu sehingga Ogos tahun depan.
Pengerusinya, M. Kuppusamy berkata semua pihak dalam parti itu seharusnya akur dengan keputusan itu agar proses penyerahan kuasa berlaku secara teratur.
"Untuk apa kita menimbulkan masalah dalam parti sedangkan presiden sudah memberi bila masanya dia akan berundur.
"Apa yang berlaku sekarang sangat mengecewakan kami ahli parti dan berharap masalah ini kembali selesai," katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan anggota MIC Kuala Krai di sini.
Terdapat tiga bahagian MIC di Kelantan iaitu di Kuala Krai, Tanah Merah dan Kota Baharu dengan lebih 3,000 keanggotaan.
Kuppusamy berkata pihaknya sama sekali tidak bersetuju dengan langkah bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan yang melancarkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).
"Ini tindakan karut yang boleh merosakkan MIC dan kita minta Mugilan agar bertenang dan tidak membuat perkara yang bukan-bukan," katanya.
Perhimpunan GAS yang akan diadakan di Pusat Konvensyen The Mines, Kuala Lumpur esok, dijangka menghimpunkan kira-kira 15,000 orang.
Sehubungan itu, Kuppusamy meminta semua anggota parti di negeri ini tidak menyertai perhimpunan itu demi kestabilan MIC.
"Untuk apa mahu menyertai GAS sedangkan kita sudah menerima keputusan presiden untuk melepaskan jawatan tahun depan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan