Sabtu, 29 Mei 2010

SU Agung pula bidas presiden MIC

Aidila Razak



Setiausaha agung MIC S Murugesan menjadi pemimpin kanan kedua parti itu yang menyatakan secara terbuka rasa tidak puas hati berhubung pemecatan empat pemimpin MIC oleh presidennya, Datuk Seri bS Samy Vellu.

Murugesan berkata dia terpaksa mengikut hati nuraninya dan menjawab kepada perwakilan MIC yang mengundinya dan bukan hanya kepada seseorang.

"Pemecatan oleh presiden sepatutnya bukan pilihan pertama tetapi menjadi pilihan terakhir...Ahli seharusnya diberi peluang mempertahankan diri mereka di depan jawatankuasa disiplin,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya.

Murugesan merujuk pemecatan dua ahli jawatankuasa pusat - KP Samy and G Kumar Amaan, bersama timbalan ketua Pemuda MIC V Mugilan berserta pemimpin veteran bahagian Petaling Jaya, V Subramaniam.

Keempat-empat mereka dipecat oleh Samy Vellu tanpa peluang membela diri pada mesyuarat disiplin parti itu.

"Saya sebagai setiausaha parti mempunyai tanggungjawab kepada keseluruhan ahli-ahli MIC dan juga untuk memastikan bahawa prinsip-prinsip demokrasi dalam parti itu diperkukuhkan dan tidak digugat.

"Jadi saya telah mengambil keputusan untuk menyuarakan pendirian dan menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan pemecatan ahli-ahli CWC dengan menggunakan kuasa presiden tanpa memberikan hak kepada mereka untuk didengar oleh jawatankuasa disiplin. Inilah pendirian saya,” katanya
Semalam, seorang ahli jawatankuasa pusat MIC P Palaniappan juga membuat kenyataan rasa kurang puas hatinya dengan pemecatan berkenaan.

Kedua-dua Murugesan dan Palaniappan bagaimanapun menafikan mereka terbabit dengan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang diterajui Mugilan, meskipun sidang akhbar kedua-dua mereka diadakan pada tempat yang sama, sama ada sebelum ataupun selepas oleh gerakan itu.

Tiada ulasan: