Jumaat, 7 Mei 2010

Jentera Pilihan Raya KEADILAN Sedia Gempur Sibu

Oleh Faizal Ezzany


SIBU - Parti Keadilan Rakyat sudah siapsiaga untuk berganding bahu membantu rakan Pakatan Rakyat Sarawak - DAP, PAS dan SNAP - dalam menjamin kemenangan pada pilihan raya kecil Parlimen Bandar Sibu 16 Mei depan.

KEADILAN yang mengadakan mesyuarat di bilik gerakan utama parti di sini semalam kini sudah bersedia menggerakkan jentera untuk mengempur kubu Barisan Nasional apabila bermulanya tempoh berkempen Sabtu ini.

Pengarah Pilihan Raya Pusat, Fuziah Salleh dalam peringatannya menjelaskan pilihan raya kecil ini adalah latihan kepada semua jentera untuk menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka akan diadakan lewat tahun ini.

"Saya nak ingatkan pilihan raya kecil ini adalah satu latihan dalam menghadapi pilihan raya negeri nanti dan ia adalah ujian sebenar bagi mengetahui keberkesanan jentera pilihan raya negeri Sarawak.

"Dari segi logistik saya berpuas hati dan harap jentera tempatan juga berada dalam keadaan yang bersiap sedia agar kempen kita kali ini lebih berkesan," jelasnya.

Fuziah juga menekankan jentera tempatan dan jentera dari Semenanjung haris bekerjasama erat dan saling membantu.

"Bagi saya jentera yang paling berkesan sekali dalam kempen pilihan raya Sibu adalah dari setiap cabang di Sarawak. Ketua cabang perlu bantu menyusun jentera mereka untuk memantapkan lagi jentera mereka.

"Selain itu jentera tempatan juga perlu membantu jentera dari pusat kerana mereka lebih mengenali setiap pengundi di Sibu dan tahu apa yang perlu dilakukan.

"Saya harap kita dapat gempur setiap kubu Barisan Nasional dengan pasukan petugas yang mantap dan berdisiplin. Kita juga harus elakkan berlaku kecelaruan setiap jentera yang bertugas," kata beliau.

Fuziah yang juga bertindak selaku Pengarah Bilik Gerakan Utama turut dibantu Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Sarawak, Nicholas Bawin Anggat.

Pilihan raya kecil P212 Sibu adalah yang kedua di Sarawak pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batang Air pada 7 April 2009.

Kawasan Parlimen Bandar Sibu dengan keluasan 1,399 kilometer persegi hampir menyamai saiz negeri Perlis dan Pulau Pinang.

Seperti juga Hulu Selangor, tiga kawasan DUN dalam Parlimen Sibu iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka diwakili oleh Barisan Nasional.

Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 unbdi pos.

Majoriti pengundi adalah dari keturunan Cina seramai 34,424 atau 66 peratus, Melanau/Melayu -8,866 (17%), Iban - 7,823 (15%), Bidayuh - 26 (0.5%), Orang Ulu - 57 (0.11%) dan lain-lain - 73 (0.14%)


Tiada ulasan: