Jumaat, 7 Mei 2010

Utusan Malaysia Didakwa Penyebar Fikiran Pro-Zionis Apco

Oleh Rusnizam Mahat


SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang pemimpin dunia yang disegani bukan sahaja di dunia Barat mahupun Islam serta konsisten dalam idea memperjuangkan agenda pro-demokrasi dan kebebasan.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan muka depan Utusan Malaysia Rabu lalu yang bertajuk 'Anwar Khianati Rakan' yang antara lain mendakwa Anwar mengkhianati rakannya berbangsa Yahudi diperingkat antarabangsa.

Akhbar itu menyiarkan laporan dari sebuah penerbitan internet, 'The New Ledger' hasil tulisan Rachel Motte, bertajuk 'The Reversal Of Anwar Ibrahim' yang mendakwa Anwar telah membuang rakan lamanya di Washington dan menjadikan isu firma perundingan komunikasi antarabangsa, Apco Worldwide untuk membenci Israel.

"Saya ingin tegaskan bahawa Anwar tidak pernah menjadi ejen kepada sesiapapun tetapi beliau adalah reformis keadilan yang memperjuangkan demokrasi dan kebebasan.

"Tuduhan menyatakan Anwar dulu lain sekarang lain adalah tidak benar sama sekali. Anwar seorang yang konsisten dalam perjuangan demokrasi samada di dalam negeri atau di peringkat antrabangsa.

"Pendekatan hubungan antarabangsa yang digunakan adakah beliau tegas berhubung isu keganasan dan konsisten serta menunjukkan sikap tidak bersetuju secara terbuka terhadap serangan Amerika terhadap Iraq dan Afghanistan.

"Ini sering disebut di dalam ucapan beliau tidak kira di mana. Anwar tidak pernah anti-Yahudi tetapi dia tidak bersetuju dengan dasar Zionis yang zalim terhadap rakyat Palestin," jelas beliau lagi.

Menurut Yusmadi, artikel tersebut tidak langsung menjejaskan sokongan terhadap Anwar malah dokongan terhadapnya masih tinggi di kalangan pemimpin dunia termasuk di kalangan pemenang Nobel keamanan.

"Utusan menjadi alat kerajaan melaporkan artikel tidak berasas. Apatah lagi Utusan yang dikatakan penyebar pemikiran rakyat dan akhbar Melayu seolah kini telah menjadi ejen kepada Apco yang bersekongkol dan mempertahankan agenda Zionis," ujarnya.

Jelasnya, tindakan Utusan menyiarkan artikel itu tidak menghairankan bagi melindungi pakar strategi pro-Zionis seperti Apco.

Beliau menganggap artikel yang ditulis Rachel Motte merupakan gerak kerja perencana yang dilakukan oleh pelobi Israel.

"Di Washington pelobi di kalangan penulis dan pemikir melakukan kerja tidak beretika. Ini taktik atau pendekatan yang biasa di Washington yang terkenal dengan pelobi seperti ini. Malaysia terkenal menggunakan pelobi seperti Jack Abramoff yang ditolak oleh kerajaan Amerika sendiri.

"Ia bukan penulisan arus perdana dan bukan disiar dalam akhbar terkemuka seperti New York Times atau Washington Post tetapi oleh akhbar bertaraf picisian. Sedangkan Anwar masih mendapat pengiktirafan oleh kelompok arus perdana," ujarnya.

Tambah Yusmadi, Ketua Umum KEADILAN itu mendapat dokongan bukan sahaja di kalangan kelompok Barat tetapi tokoh dunia Islam seperti Sheikh Dr Wahbah Az-Zuhaili dan Sheikh Dr Yusuf Al Qaradawi yang secara terbuka mempertahankan Anwar yang difitnah oleh Umno-Barisan Nasional.

Keadaan itu katanya menimbulkan perasaan cemburu di kalangan pimpinan Umno sejak era Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga ke Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan: