Jumaat, 7 Mei 2010

Zaid Fail Petisyen Selepas PRK Sibu

Oleh Sidiqin Omar


SERENDAH - Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Zaid Ibrahim berkata proses untuk memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April kini dalam peringkat akhir dan dijangka dikemukakan selepas pilihan raya kecil Sibu.

"Saya telah serahkan persediaan kepada barisan peguam dan kini dalam proses akhir. Kami akan maklumkan kepada media sebaik sahaja pasukan perundangan kita telah bersedia," kata Zaid selepas menghadiri majlis meraikan petugas pilihan raya bagi jawatankuasa daerah mengundi Serendah di Taman Desa Melur baru-baru ini.

Beliau mendakwa mempunyai bukti kukuh mengenai penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya kecil itu.

Antaranya ialah sikap SPR yang berat sebelah dalam perlaksanaan pilihan raya, serangan peribadi dalam kempen dan pemindahan pengundi.

"Sama ada keputusan memihak kepada kita atau tidak, kita tetap juga akan memfailkan petisyen tersebut kerana sistem pilihan raya di Malaysia perlu dibersihkan," jelas beliau.

Pada majlis itu beliau merakamkan terima kasih kepada semua petugas, sukarelawan dan media yang bertungkus lumus untuk berkempen bagi mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Zaid optimis bahawa kemenangan sebenar tidak sekadar hanya menjadi wakil rakyat, tetapi kemenangan dari sudut moral, maruah dan integriti pendokong Pakatan Rakyat yang jujur dalam perjuangan bagi menjadikan sistem dan pentadbiran di negara ini lebih telus dan adil adalah lebih penting.

Tiada ulasan: