Khamis, 6 Mei 2010

Anwar vs Chandra ke Perbicaraan Penuh

FREE MALAYSIA TODAY


Chandra KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah bernilai RM10 juta oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tokoh akademik, Dr Chandra Muzaffar akan diteruskan dengan perbicaraan penuh.

Keputusan dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan wajar dibicarakan selepas menolak permohonan Anwar untuk mengenepikan pernyataan pembelaan Dr Chandra.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan demikian ketika kes disebut di kamar beliau semalam.

Maka tarikh 12 Mei ditetapkan untuk pengurusan kes berkenaan.

Hadir pada prosiding peguam mewakili Dr Chandra Jahaberdeen Mohamed Yunoos manakala Wan Anuar Shaddat mewakili Anwar.

Anwar dalam tuntutannya mendakwa Chandra telah membuat komen berunsur fitnah terhadapnya dalam satu forum yang dianjurkan oleh Star Publication Berhad di Menara Star, Petaling Jaya pada 3 Mac 2008.

Ekoran daripada itu dakwa Anwar kata-kata Chandra telah disiarkan dalam akhbar The Star di bawah tajuk ‘Disaster if Anwar is PM’ dan akhbar News Straits Times di bawah tajuk ‘Chandra breaks silence on Anwar’ pada 5 Mac 2008.

Dalam kenyataan bela dirinya, Dr Chandra Muzaffar menafikan memberi komen yang berniat jahat, palsu atau berbaur fitnah tentang Anwar, yang didakwa ketua pembangkang itu telah tersiar dalam dua akhbar berbahasa Inggeris pada 5 Mac 2008.

Dr Chandra juga mendakwa bahawa walaupun kata-kata yang beliau ucapkan itu berbaur fitnah (tetapi beliau menafikan perkara itu), ia disiarkan dengan perlindungan bersyarat, tanpa berniat jahat.

Tiada ulasan: