Khamis, 6 Mei 2010

Calon DAP Minat Satu Lawan Satu

Oleh Roziyah Mahamad

KUALA LUMPUR : Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng lebih berminat untuk berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu, 16 Mei ini.

Bagaimanpun, seorang bekas anggota tentera, Narawi Harun, 60, dijangka bertindak sebagai 'pengacau' jika dia serius dengan hasrat bertanding sebagai calon bebas selepas mengambil borang pencalonan.

Ketika ditemui pemberita selepas mengambil borang pencalonannya di sini pada Rabu, Wong berkata kebebasan bertanding adalah amalan demokrasi.

"Kami tidak dapat menghalang dia daripada bertanding walaupun saya inginkan pertandingan satu lawan satu antara DAP dan BN," kata Wong, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek.

Tetapi jika ada sesuatu yang merisaukan beliau adalah berita mengenai orang yang mahu membuat pertaruhan keputusan pilihan raya kecil itu.

"Ini tidak sihat. Ia harus dihentikan. Orang tidak sepatutnya membuat pertaruhan mengenai keputusan pilihan raya tetapi sebaliknya mengundi secara bebas," katanya.

Selain Wong dan Narawi, calon BN Robert Lau Hui Yew, 48, dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) meminta rakannya mengambil borang pencalonan untuk dia pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, Narawi bukan merupakan muka baru dalam arena politik tempatan.

Beliau bertanding untuk kerusi itu pada pilihan raya Parlimen pada 1995 dengan memperoleh 975 undi, menentang pemenang mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew dari BN dan Wong sendiri.

"Saya yakin. Sebenarnya saya sudah membuat persiapan bagi pilihan raya negeri tetapi terpaksa mengharungi pilihan raya kecil ini terlebih dahulu," kata Narawi. Pada pilihan raya negeri 2006, beliau menarik diri daripada bertanding selepas mengemukakan borang pencalonan bagi kerusi DUN Nangka.

"Saya berundur bagi memberi peluang kepada saudara saya Abang Ariffin Abang Shebil dari Parti Keadilan Rakyat yang menentang Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dari BN," katanya.


Tiada ulasan: