KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa sogokan oleh ahli-ahli perniagaan kepada pegawai-pegawai kerajaan untuk membantu agar permohonan lesen mereka diluluskan "agak berleluasa".
Pendedahan ini dibuat oleh Timbalan Ketua Pesuruhanjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sutan. Bagaimanapun, beliau tidak menyediakan perangkaan.
"Kami menerima aduan daripada golongan perniagaan kerana mereka terpaksa memberi sejumlah wang untuk memudahkan urusan mereka," kata beliau semalam.
Sutinah merupakan salah seorang dari 11 ahli panel delegasi dari SPRM yang diketuai oleh Ketuanya, Datuk Abu Kassim Mohamed, pada mesyuarat tertutup dengan para pemimpin Dewan Perniagaan dan Perdagangan Cina Malaysia (Acccim) yang diketuai oleh presiden Acccim, Tan Sri William Cheng.
Beliau berkata, kebanyakan aduan rasuah perniagaan yang diterima melibatkan rundingan di antara ahli-ahli perniagaan tempatan dan para pegawai dari agensi-agensi kerajaan.
Bagaimanapun katanya, beliau belum lagi menerima aduan rasuah melibatkan para pelabur daripada luar negara.
Beliau berkata, dalam usaha kerajaan untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi untuk pelaburan, kerajaan hendaklah memperbaiki sebahagian dari perkhidmatannya, termasuk mengurangkan halangan birokrasi dan menyediakan "satu pusat khidmat" untuk membantu para pelabur menubuhkan perniagaan di sini.
"Dan kami akan terus membenteras rasuah untuk memastikan Malaysia menyediakan persekitaran perniagaan yang bersih dan bebas dari rasuah.
"Kami mahu memberitahu para pelabur bahawa tidak ada kos tambahan yang terlibat dalam menjalankan perniagaan di sini," ujar beliau.
"Namun terdapat kejadian di mana mereka terpaksa menanggung kos yang lebih untuk menjalankan perniagaan. Kami tidak mahu ini berlaku, bahawa mereka terpaksa membayar lebih dari apa yang termaktub dalam peraturan dan undang-undang.
Beliau menekankan bahawa rasuah dalam sektor swasta juga merupakan satu kesalahan dan harus dilaporkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan