Tuesday, November 3, 2009

Penyelewengan YADIM: Nakhaie cabar Asri…

AGENDA DAILY


“Tuduhan Dr Mohd Asri adalah satu pembohongan. Kalau dia boleh cabar orang lain untuk tunjuk bukti tuduhan terhadap dia, saya pula cabar dia tunjuk bukti tuduhan dia terhadap saya,” kata mantan Yang Di Pertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Nakhaie Haji Ahmad.

Bercakap dalam sidang media di rumahnya di Gombak, Isnin, Nakhae berkata beliau tidak takut dengan tuduhan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menggambarkan berlaku penyelewengan dalam YADIM.

“Jabatan Audit sudahpun membuat pemeriksaan awal tahun ini, sementara SPRM pula sudah dua kali datang menyiasat. Tetapi mereka tidak menemui sebarang kesalahan dilakukan oleh YADIM mahupun pekerja-pekerjanya,” katanya.

Nakhaie mengadakan sidang media sebagai membalas kenyataan Dr Asri yang dibuat semasa sidang medianya yang berlangsung di Taman Tun Dr Ismail Ahad lalu.

Dalam sidang media itu Dr Asri mencadangkan kepada Ketua Audit Negara supaya melakukan audit kepada YADIM kerana apabila timbul cadangan beliau dilantik YDP YADIM, beliau ada membuat semakan beberapa perkara yang memusykilkan.

Menurut Nakhaie lagi, Jabatan Audit melakukan audit dari semasa ke semasa dan terkini pada awal tahun ini. “Biasalah apabila kita melakukan pekerjaan, pasti ada berlaku kesilapan teknikal kecil, tetapi tidak satupun yang membabitkan rasuah.

“Dulu orang tidak kisahpun mengenai YADIM. Tetapi apabila YADIM sudah besar dan orang selalu melihat saya keluar negara, mulalah mereka membuat cerita kononnya saya menggunakan YADIM untuk kumpul harta dan enjoy. Ada yang terus lapor pada SPRM. Dua kali mereka lapor dan dua kali SPRM datang periksa. Mereka berpuashati dan mendapati tuduhan itu tidak benar.

“Saya yakin dengan Jabatan Audit dan SPRM kerana mereka melakukan kerja dengan profesional dan betul. Apa yang saya bimbang ialah hukuman tidak profesional yang dibuat oleh golongan tidak profesional yang mendengar kata kroni-kroni yang suka memburukkan YADIM,” tambahnya lagi,

Nakhaie menambah, tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Dr Asri seolah-olah ada berlaku penyelewengan dalam YADIM adalah tidak profesional.

“Saya kesal dengan tuduhan ini dan bersimpati kepada YADIM dan pekerja-pekerjanya. Sepatutnya mereka berterima kasih kepada YADIM dan pekerja-pekerja yang bekerja bersungguh-sungguh hingga YADIM jadi terkenal. Saya terpaksa tampil dalam sidang media ini untuk membela YADIM supaya masyarakat sedia maklum dan tidak terpengaruh dengan tuduhan-tuduhan berkenaan.

“Sebenarnya Dr Mohd Asri sendiri tidak tahu apa-apa mengenai YADIM dan program-programnya, Dia dengar orang bercakap dan terus buat kenyataan. Ini satu pembohongan. Sabda Nabi - cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila dia bercakap apa sahaja yang dia dengar tanpa bukti.”

“Saya tidak pernah kata apa pun pada dia. Dalam tulisan saya pun tak kata apa-apa. Tulisan dia pun kadang-kadang sahaja say abaca. Saya pun sebenarnya tidak kenal rapat dengan dia. Macam mana dia boleh kata saya menuduhnya tidak diterima oleh ahli UMNO dan PAS serta tidak layak jadi YDP?

“Tuduhan-tuduhan seperti ini tak betul. Saya kesal hal-hal ini dijadikan berita sensasi. Nampak macam kita teruk sangat berebut jawatan. Saya keluar dari YADIM secara sukarela.Mungkin kerana kecewa tak dapat jadi YDP, dia tuduh dan caci orang,” tambah Nakhae.

Mengenai isu memorandum oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang dihantar ke bawah Yang di-Pertuan Agong membantah cadangan melantik Dr Asri sebagai YDP YADIM, Nakhaie berkata, soal itu tidak ada kena mengena dengan beliau.

Apabila diminta mengulas mengenai penahanan Dr Asri oleh JAIS, Isnin dan sama ada beliau percaya bekas Mufti itu disabotaj, Nakhaie berkata, jika seseorang mengajar agama tanpa tauliah, pihak berkuasa jarang mempersoalkan.

“Tetapi jika mereka mengajar perkara-perkara yang terkeluar dari arus perdana agama, mungkin pihak berkenaan akan bertindak. Barangkala dia mengajar sesuatu yang bertentangan dengan arus perdana,” katanya.,

No comments: